anjung setiawangsa Headline Animator


Showing posts with label isu minyak. Show all posts
Showing posts with label isu minyak. Show all posts

Friday, March 19, 2010

MUSA HITAM SENADA DENGAN KU LI DALAM SOAL ROYALTI MINYAK


Tun Musa Hitam senada dengan pendirian bekas pengerusi dan pengasas Petronas Tengku Razaleigh Hamzah bahawa pembayaran wang royalti atau ihsan seharusnya diserahkan kepada kerajaan negeri untuk diuruskan sebagaimana diperuntukkan mengikut undang-undang.

Biar apapun istilah pembayaran wang berkenaan, ia mesti dibuat kepada kerajaan negeri dan bukannya dikendalikan oleh kerajaan pusat dengan mewujudkan jawatankuasa khas, kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Sama ada wang ihsan ke royalti, itu tak mustahak. Asalkan mereka menggunakannya untuk pembangunan rakyat. Kita harus wujudkan satu sistem di mana kita boleh memantau penggunaan wang itu, walaupun kuasanya diberikan kepada negeri berkenaan,” katanya.

Pandangan ini dibuat ketika soal wang royalti menjadi isu politik hangat buat masa sekarang dengan Tengku Razaleigh, bekas menteri kewangan dan Ketua Umno Gua Musang berulang kali menegaskan Kelantan berhak menerima royalti atau bayaran tunai tetapi bukannya wang ihsan yang ditentukan kerajaan pusat.

Musa, yang pernah bergandingan dengan Tengku Razaleigh pada pemilihan Umno tahun 1987 melawan kepimpinan Presiden Umno ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad, menyedari pandangannya ini mungkin akan menimbulkan keresahan di kalangan pemimpin Umno.

Musa juga percaya bahawa Tengku Razaleigh tahu apa yang beliau pertahankan.

“Saya fikir Tengku Razaleigh arif dalam hal ini, oleh sebab dia dulu dengan Petronas, dia dalam kerajaan,” katanya.

Kerajaan Kelantan pada tahun lalu menuntut royalti RM2 bilion hasil operasi cari gali minyak di perairannya daripada kerajaan pusat. Namun kerajaan pusat mendakwa Kelantan tidak layak menerima royalti berkenaan kerana dua telaga minyak berkenaan terletak di kawasan 150 batu nautika dari perairannya.

Sebaliknya kerajaan pusat melalui perbincangan dengan Petronas memutuskan untuk membayar RM20 juta dalam bentuk wang ihsan kepada Kelantan iaitu lima peratus hasil pengeluaran gas di Blok Medan Bumi Selatan.

Pembayaran itu akan dibuat sebelum akhir bulan ini.

Untuk tujuan itu kerajaan pusat menubuhkan Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin yang juga Timbalan Pengerusi Umno Kelantan.

Tuesday, March 16, 2010

Usul YB Salehudin Ayob Berkaitan Royalti Minyak Kelantan

10 Mac 2010 / 24 Rabiul’ Awal 1431

Kepada ;
YB Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia
Yang DiPertua Dewan Rakyat,
Parlimen Malaysia,
Kuala Lumpur.

YB Tan Sri,
USUL MENANGGUHKAN MESYUARAT DI BAWAH PERATURAN MESYUARAT 18 (1) BAGI MEMBINCANGKAN PERKARA TERTENTU, BERKEPENTINGAN RAMAI DAN PERLU DISEGERAKAN
Saya Haji Salahuddin Bin Haji Ayub (Kubang Kerian) mohon mencadangkan bahawa mesyuarat hari ini hendaklah ditangguhkan bagi membincangkan perkara yang berkaitan dengan hak negeri Kelantan dan negeri-negeri lain dalam Malaysia untuk mendapatkan royalti petroleum yang dinafikan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Tuan Yang DiPertua,
Sewajarnya Dewan Yang Mulia ini merakamkan penghargaan yang setingginya kepada YB Mulia Tan Sri Tengku Razaleigh Tengku Mohd Hamzah (Gua Musang) yang telah menunjukkan sifat seorang negarawan tulen yang berani berdiri dipersada politik tanah air bagi memperbetulkan fakta yang diselewengkan oleh YAB Perdana Menteri khususnya dalam perkara pembayaran royalti petroleum keatas negeri Kelantan dan negeri-negeri lain. Alasan murahan yang dijaja keserata negara ialah isu 3 batu nautika yang jelas bertentangan dengan Petroleum Development Act (PDA) 1974.

Menjadi tanggungjawab saya mewakili rakyat negara ini untuk membawa usul ini kerana terlalu banyak fakta yang diselewengkan mahupun disembunyikan termasuk penemuan beberapa telaga minyak dikawasan bertindih sempadan Kelantan dan Terengganu iaitu sekitar (Commercial Arrangment Area PM313).

YB Mulia Gua Musang paling berautoriti untuk memperjelaskan PDA. PDA dan kesemua 13 perjanjian dengan Negeri-negeri dan 13 Geran Penyerahan Hak menggunakan istilah “bayaran tunai” dan demikian juga istilah-istilah yang digunakan dalam PDA adalah “di daratan (On-Shore)” dan “luar pantai (Off-Shore)” untuk maksud petroluem yang dihasilkan samada di daratan atau di luar pantai. Yang penting sekali adalah tiada dinyatakan sama sekali di dalam PDA, 13 Perjanjian dengan negeri-negeri mahupun Hak tentang sekatan setiap Negeri untuk menerima bayaran tunai dari Pertonas bagi pengeluaran petroleum di luar pantainya berdasarkan kepada jarak dari pantainya sebagaimana hujah murahan YAB Perdana Menteri.

Cuba perhatikan bagi Sabah dan Sarawak (telaga minyaknya semua di luar pantai) sebelum berkuatkuasanya PDA 1974 asas perundangan bayaran royaltinya dibuat oleh undang-undang yang digubal oleh kolonial Inggeris. Setelah wujud PDA dan pembentukan Petronas, Sabah dan Sarawak dibayar royalti petroleum sejak Oktober 1974 berasaskan PDA, 2 Perjanjian dan 2 Geran Penyerah Hak. Kedua-dua negeri tersebut berada dalam kedudukan yang sama dengan Kelantan,Terengganu dan 9 negeri yang lain dalam Malaysia.

Saya mohon sekali lagi agar Dewan Yang Mulia ini diberikan ruang untuk membincangkan perkara sepenting ini. Tentunya Estoppel mengikat integriti Petronas sebagai syarikat minyak multi-nasional setanding Exxon dan Shell. Satu penghormatan kepada Pertonas yang telah menandatanagani perjanjian dengan Kelantan dan 12 Negeri-negeri yang lain. Petronas jangan menodai perjanjian ini hanya kerana angkara dendam kesumat Barisan Nasional yang tak kunjung padam.

Saya yang mencadangkan,

Yang benar

SALAHUDDIN AYUB

Tuesday, February 23, 2010

Isu Royalti: Ku Li sarat hujjah, Tok Pa tong kosong?

Oleh Subky Latif

TENGKU Razaleigh Hamzah, pengasas Petronas berpendapat bahawa negeri dan kerajaan Kelantan berhak mendapat royalti minyak yang dihasil di pesisir pantai negeri itu tidak kira berapa jauh ia ke tengah laut.

Kalau pun royalti itu diganti dengan wang ihsan, maka wang itu mesti dimasukkan ke dalam khazanah negeri. Tiada pihak lain yang boleh mentadbirnya.

Datuk Mustafa Mohamad, Menteri Perdagangan Antarabansa dan Industri dan Ketua Perhubungan UMNO Kelantan berkeras mengatakan negeri Kelantan tidak berhak atas royalti itu kerana telaga minyak yang beroperasi adalah di luar kawasan tiga batu nautika dengan pantai negeri itu.

Menteri itu kebetulan anak Kelantan telah menjadi jurucakap kerajaan pusat dan Petronas sedang dia tidak ada kena mengena dengan urusan pengeluaran minyak. Kementeriannya tidak menjaga urusan pengeluaran minyak dan dia tidak ada apa-apa kedudukan dalam Petronas.

Orang yang boleh bercakap tentang perkara itu ialah Perdana Menteri dan Timbalannya serta Pengerusi Petronas. Jika ganti royalti itu adalah wang ihsan, maka orang-orang tadi yang layak bercakap dan cara mana wang ihsan itu hendak digunakan.

Cakap orang lain adalah tidak rasmi.

Ada pun Tengku Razaleigh adalah pengasas Petronas dan orang yang bertanggungjawab merangka merangka polisi dan operasinya. Ketika itu mungkin Mustafa Mohamad belum menyambung pelajaran ke Australia.

Ketika Petronas diasaskan sudah ada satu badan ditubuhkan bagi mengendalikan hal ehwal pengeluaran minyak itu di bawah Kementerian Perusahaan Utama yang menjadinya ialah Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak sekarang. Kira-kira Taib Mahmudlah orang yang dikira akan menjadi orang penting pengurusasn minyak.

Ketika itu Indonesia sudah ada badan pengurusan minyak negaranya yang dinamakan Pertamina yang ketuanya ialah Ibnu Sutowo. Ibnu Sutowo ini dikira orang kedua penting di Indonesia selepas Presiden Suharto. Orang minyak yang penting bagi Arab Saudi pula ialah Sheikh Zaki Yamani.

Taib Mahmud telah dibayangkan akan jadi macam Ibnu Sutowo dan Zaki Yamani bagi Malaysia.

Entah bagaimana Perdana Menteri Tun Razak telah menggantung badan yang diasaskan di bawah Taib Mahmud tadi dan menteri itu sendiri ditukarkan menjadi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri. Dia bukan saja hilang peluang untuk menjadi orang penting industri minyak bahkan hilang kementerian. Dia ada kerusi dan beberapa orang pembantu saja di tempat barunya itu.

Dalam suasana itu orang utama Bank Bumiputera itu iaitu Tengku Razaleigh dipilih oleh Tun Razak untuk mengasaskan Petronas sebagai ganti kepada badan yang dimansuhkan yang diketuai oleh Taib Mahmud tadi.

Orang yang masih hidup yang tahu perkembangan pertukaran dari Taib Mahmud itu selain dari Taib Mahmud dan Tengku Razaleigh ialah Tun Abdul Rahman Yaakub, Ketua Menteri Sarawak ketika itu. Dan negeri yang dikenal pasti sudah ada minyak ketika itu ialah Sarawak dan Sabah.

Kemudian barulah dipanggil pegawai kerajaan yang paling penting di Pejabat Peguam Negara Tan Sri Salleh Abbas membantu Pengerusi Petronas merangka Akta Petronas dan perjanjian dengan negeri-negeri tentang pembahagian keuntungan minyak Petronas itu.

Tun Abd. Rahman adalah orang yang cukup rapat dengan Tun Razak dan boleh dikira penasihat paling penting Tun Razak dalam perkara itu. Mungkin beliau tidak duduk dalam Petronas, tetapi dia adalah orang yang tahu tentang permulaan Petronas itu dibentuk selain dari Tengku Razaleigh dan Tun Salleh Abbas.

Tengku Razaleigh adalah orang penting UMNO paling rapat dengan Tun Razak tidak dilantik menjadi menteri tetapi dia kuat dengan kedudukannya sebagai Pengerusi Petronas dan Bank Bumiputera. Kedudukan itu menjadi dia lebih penting dari menteri-menteri selain dari Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Tengku Razaleigh dan Tun Salleh Abbas adalah orang paling tahu tentang dasar asal dan lain-lain selok belok Petronas. Kalau nak tahu apa itu ISA dan pembentukan Malaysia tanyalah kepada Tunku Abdul Rahman Putra dan bila mahu tahu tentang Petronas tanyalah Ku Li dan Tun Salleh Abbas.

Merekalah menjadi saksi paling penting kes yang melibatkan Petronas. Ada pun Tun Dr. Mahathir, Datuk Seri Najib dan Tan Sri Hassan Marican adalah orang yang berpengaruh dalam Petronas setelah Petronas sudah gagah dan perkasa.

Ada pun Datuk Mustapa Mohamad selain dari orang yang tiada apa-apa pengalaman tentang Petronas, pengetahuan tentang Petronas pun amat sikit dan pengaruh dengan badan itu pun hampir tiada.

Maka dia tidak lebih dari jurucakap UMNO Kelantan saja tentang pergelutan tuntutan royalti minyak antara Kelantan di satu pihak dan kerajaan pusat dan Petronas di pihak yang lain.

Dr. Mahathir dan Perdana Menteri Najib adalah orang yang bertanggungjawab menurunkan status royalti minyak Terengganu kepada wang ihsan. Telaga minyak yang pernah memberi royalti kepada Terengganu dulu terletak lebih jauh dari pantai Terengganu dibandingkan dengan telaga yang dituntut haknya oleh Kelantan sekarang.

Sejarah royalti menjadi wang ihsan adalah sejarah baru yang tidak dilakukan atas kehendak undang-undang dan kebenaran, tetapi ia lebih dirangsang oleh serakah hawa nafsu pemimpin UMNO tak bermaruah Terengganu sebagai helah bagi merampas semula Terengganu dari PAS. Sampai akhir mahkamah yang dibelenggu Perdana Menteri itu tidak bersidang atas saman kerajaan Terengganu atas rampasan royaltinya sejak zaman pentadbiran Dr. Mahathir dulu.

Justeru itu Ku Li dilihat dalam memperkatakan isu royalti itu sarat dengan hujah, tetapi Tok Pa dilihat kosong, hanya sarat dengan nafsu dan peluru kosong. 

Wednesday, February 3, 2010

Ku Li : UMNO Tetap Akan Berhadapan Dengan Undang-Undang Dan Rakyat

UMNO bebas mengambil apa sahaja tindakan yang mereka ingin terhadap saya,” kata Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau berkata, beliau tidak gentar terhadap desakan sesetengah pihak dalam parti itu yang mahu beliau dikenakan tindakan disiplin kerana menyampaikan ucapan mengenai hak Kelantan mendapat royalti minyak di Majlis Solat Hajat dan Ceramah Perdana Royalti Petroleum di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, baru-baru ini.

Menurutnya, isu itu bukan berkaitan dengan beliau, tetapi membabitkan ketetapan undang-undang mengenai royalti minyak dan hak Kelantan dan Terengganu.

“Undang-undang ialah Akta Pembangunan Petroleum yang membawa kepada kelahiran Petronas dan memberi Kelantan dan Terengganu hak perundangan kepada lima peratus hasil minyak yang ditemui di pesisir (pantai),” Tengku Razaleigh dipetik sebagai berkata melalui Astro Awani, semalam.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, ketika menjadi Pengerusi Petronas, beliau menggubal akta, merangka undang-undang dan menandatangani perjanjian atas arahan bekas Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

“Beliau mahu memastikan negeri-negeri yang miskin di Semenanjung mendapat faedah dari minyak yang diperoleh di luar pesisir,” katanya.

Tengku Razaleigh, yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata, UMNO tetap akan berhadapan dengan undang-undang negara dan rakyat, walaupun parti itu mengambil tindakan tegas ke atasnya.

Katanya, tindakannya menyokong Kerajaan Kelantan menuntut royalti minyak dan bukan wang ihsan, berdasarkan undang-undang.

Kontroversi royalti minyak Kelantan tercetus apabila Kerajaan Kelantan menuntut royalti minyak daripada Kerajaan Pusat. Bagaimanapun, Kerajaan Pusat memutuskan memberi wang ihsan RM 20 juta.

Selepas itu, Kerajaan Pusat menubuhkan jawatankuasa perundingan wang ihsan bagi membincangkan sebarang pandangan berhubung tindakan yang perlu dilakukan dengan wang ihsan yang akan disalurkan ke Kelantan kelak.

Namun, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menolak sebarang pelawaan daripada Kerajaan Pusat untuk menganggotai jawatankuasa tersebut.

Isu royalti minyak Kelantan menjadi semakin hangat apabila Tengku Razaleigh bercakap di hadapan 40,000 orang di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu dan menyokong Kerajaan Kelantan dalam tuntutannya.

Tindakan Tengku Razaleigh itu membangkitkan pelbagai persoalan dalam kalangan ahli parti UMNO, setengahnya marah dengan tindakannya itu.

Ada yang menuduh Tengku Razaleigh mempunyai agenda politik tersendiri dengan mengetuai kaukus royalti minyak Kelantan yang dicadangkan oleh pakatan pembangkang dan ada yang mendesak beliau dikenakan tindakan disiplin.

Kelmarin, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, UMNO Kelantan tidak mempunyai kuasa mengambil tindakan seperti itu.

Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, hanya Majlis Tertinggi UMNO yang layak berbuat demikian.

Mustapa baru-baru ini mengumumkan Kerajaan Pusat akan menyalurkan RM20 juta wang ihsan mulai Mac ini kepada Kelantan. Jumlah itu adalah lima peratus daripada hasil perolehan gas dan petroleum di perairan Kelantan pada 2008. - SH

Sunday, January 3, 2010

Zaman Joli Katak Sudah Berakhir - Ku Li


Oleh Aidila Razak
Zaman ‘joli katak’ sudah berakhir dan wang ‘loteri minyak’ makin berkurangan, khususnya akibat kelemahan pengurusan kerajaan, kata pemimpin veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah.
Menurut pengasas Petronas itu, rancangan asal gergasi petroleum itu tidak termasuk mengeluarkan minyak berlebihan untuk membayar kos projek kerajaan bernilai berbilion ringgit.
“Ia bermula dengan perjanjian (pembelian peralatan ketenteraan) dengan (perdana menteri Britain pada masa itu) Margaret Thatcher.
“Kemudian, pengeluaran minyak tiba-tiba berganda daripada 650,000 tong sehari kepada lebih satu juta tong sehari (untuk menampung pembelian senjata). Itu sudah terlalu banyak untuk kita,” katanya.
Sebagai seorang perancang utama kepada rancangan minyak Malaysia, bekas menteri kewangan itu kini cuba untuk membetulkan keadaan, lebih-lebih lagi untuk negeri asalnya sendiri yang beliau percaya mempunyai “hak berdaulat” untuk menerima bayaran royalti minyak bagi sumber yang ditemui di perairannya.
“Ianya bukan isu yang sukar sebab selagi minyak itu ditemui di perairan Kelantan, sama ada ianya kawasan usaha sama atau sama ada ia di luar pantai dalam zon ekonomi eksklusif negara, Petronas tetap perlu membayarnya,” katanya.
Seperkara lagi yang perlu dijelaskan ialah rundingan di antara negeri dan pusat, yang disifatkan Tengku Razaleigh sebagai lapuk dan tidak mampu menyediakan pulangan yang diperlukan bagi pembangunan di setiap negeri.
Bekas menteri kewangan itu, dalam wawancara dengan Malaysiakini minggu lalu, juga tidak kisah dengan peringatan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya jangan menerima jemputan pembangkang untuk mengetuai satu kaukus parlimen berkenaan royalti minyak.
“Saya tidak peduli siapa yang beri amaran. Saya lakukan ini demi negara. Saya tidak terhutang budi dengan sesiapa.
“Saya tidak peduli. Saya mahu lihat hak daulat rakyat ini terjaga,” katanya lagi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...