Tuesday, December 8, 2009
Bukan soal berapa lama, tetapi bagaimana
Demonstrasi oleh para penyokong UMNO dan Barisan Nasional di Kelantan dan Pulau Pinang minggu lalu saya fikir menarik untuk dibicarakan. Dari sudut perlembagaan ada beberapa sisi yang boleh diperkatakan.
Yang pertama ialah soal hak bercakap dan berkumpul secara aman yang dijamin oleh Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan. Semua warganegara berhak untuk berbuat demikian. Tetapi dalam konteks negara ini perlembagaan membuat peruntukan yang membolehkan Parlimen membuat undang-undang untuk membatas atau menyekat hak-hak tersebut. Atas asas inilah kita ada peruntukan yang memberi kuasa kepada pihak polis di bawah Akta Polis 1967 untuk mengawal selia, termasuk tidak membenarkan perhimpunan awam. Dalam kedua-dua insiden itu pasukan polis dikecam kerana mengambil sikap tidak kisah; yang jelas berbeza dengan garang yang mereka tunjukkan dalam demonstrasi yang dianjurkan oleh para penyokong Pakatan Rakyat. Kecaman itu, pada saya, wajar dan patut diizinkan dalam negara demokrasi seperti Malaysia. Umumnya saya berpendapat bahawa Perlembagaan dan undang-undang perlu selaras dengan demokrasi dan atas dasar ini saya fikir polis masih belum begitu berjaya meyakinkan rakyat tentang integriti dan keadilan mereka. Bandingkan sahaja cara polis bertindak memaksa Datuk Seri Anwar Ibrahim berhenti berucap di Johor beberapa minggu yang lalu.
Sisi lain yang saya hendak sentuh ialah perkara yang hendak ditangani oleh kedua-dua demonstrasi itu. Di Pulau Pinang para penyokong Barisan mendakwa bahawa mereka turun ke jalan kerana Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng gagal melaksanakan janji-janji mereka. Di Kelantan pula para penyokong UMNO itu mahu Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meletakkan jawatan.
Dari sudut Perlembagaan demonstrasi bukanlah cara yang betul untuk meminta Lim Guan Eng atau Nik Aziz meletakkan jawatan. Cara yang disediakan oleh Perlembagaan ialah melalui undi tidak percaya di dalam dewan. Dengan kata lain kalau UMNO benar-benar komited dengan Perlembagaan dan mempunyai sokongan yang diperlukan mereka perlu menggunakan cara itu. Menjerit-jerit dan membakar gambar di jalan raya bukan caranya.
Saya fikir polis boleh memaksa penyokong Barisan bersurai kerana dalam Perlembagaan jelas ada cara yang lebih betul untuk melaksanakan kehendak mereka. Sebab itu saya katakan di atas tadi polis gagal melaksanakan tugas mereka. Apalagi setelah mereka menafikan hak Anwar untuk berucap di Johor itu. Apakah di Pulau Pinang dan Kelantan tidak timbul soal kesesakan lalu lintas atau mengganggu ketenteraman awam sebagaimana yang mereka jadikan alasan di Johor dan beberapa demonstrasi Pakatan yang lain?
Selain itu saya tidak fikir penyokong Barisan di Pulau Pinang itu mengundi parti-parti Pakatan dalam Pilihan Raya Umum 2008 yang lalu. Jadi apa hak mereka untuk mengatakan bahawa kerajaan pimpinan Lim Guan Eng gagal mengotakan janjinya. Saya fikir yang lebih layak untuk menuntut itu semua ialah mereka yang mengundi Pakatan.
Isu-isu di atas sememangnya komplikated dan sepatutnya diselesaikan oleh mahkamah. Tetapi dalam keadaan yang ada sekarang tidak banyak yang boleh kita harapkan dari hakim-hakim kita. Malah sekitar 15 tahun yang lalu seorang hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa hak di bawah Perlembagaan itu boleh disekat oleh apa sahaja undang-undang yang dibuat oleh Parlimen! Hakim ini jelas tidak faham Perlembagaan; khususnya prinsip ketertinggian Perlembagaan dan peranan polis dalam negara demokrasi.
Hak bersuara dan berbeza pendapat ini memang mengelirukan jika kita tidak faham kerangka Perlembagaan. Ini pernah ditimbulkan oleh mereka yang menyokong gelagat Datuk Dr Hassan Ali di Selangor. Saya katakan pada mereka yang Hassan tidak boleh menggunakan hak di bawah Perkara 10(1) kerana beliau adalah anggota pentadbiran. Ada peruntukan lain yang mengatasi peruntukan umum itu; yakni Perkara 43(3) yang menuntut beliau patuh kepada prinsip tanggungjawab bersama sebagai anggota Kabinet. Kalau Hassan hendak menggunakan hak di bawah Perkara 10(1) tadi maka perlulah beliau meletakkan jawatan Exconya.
Tentang Nik Aziz pula media UMNO begitu gemar menyebut betapa beliau terlalu lama memegang jawatan. Soalnya apakah tempoh yang baru masuk tahun ke 20 itu lebih lama dari Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun? Atau Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad yang menduduki kerusi menteri besar di Terengganu sebelum tersungkur dalam Pilihan Raya Umum 1999. Di Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud sudah memegang jawatan Ketua Menteri selama 28 tahun.
Pada faham saya apa yang penting, kalau kita melihat isu ini dari sudut Perlembagaan dan demokrasi ialah cara bagaimana seseorang itu mendapat dan memegang jawatan. Bukan soal berapa lama seseorang itu memegang jawatan berkenaan. Minggu lalu, di Singapura, seorang bekas wartawan membuat dakwaan yang mengejutkan tentang jumlah wang yang lesap dalam tempoh 1981-2003. Sehingga ini orang yang selalunya cukup pantas membuat reaksi itu masih menikus. Kita juga sering mendengar betapa tempoh itu dikaitkan dengan pengembirian begitu banyak institusi awam dan pelanggaran hak asasi di negara ini. Bagi mereka yang prihatin dengan demokrasi tempoh 22 tahun itu dilihat sinonim dengan zaman gelap.
Pada saya itu menunjukkan bahawa apa yang lebih penting ialah bagaimana sesuatu jawatan itu dimenangi dan bagaimana kuasa yang dikaitkan dengan jawatan itu digunakan. Bukan soal berapa lama. Kita boleh pegang jawatan itu selama yang mungkin asalkan caranya demokratik. Tetapi memanglah bahawa logiknya sukar untuk mengekalkan jawatan kerana cabarannya banyak dan kuat pula. Sebab itu bekas Perdana Menteri Britain Harold Wilson (1964-1970 dan 1974-1976) pernah berkata bahawa seminggu dalam politik sudah cukup lama. Pengucapan itu tentunya perlu dilihat dalam konteks demokrasi mereka yang begitu terbuka, telus dan tidak ada cara untuk membawa lari tiang gol seperti di sini!
Presiden Amerika Syarikat, Frank D Roosevelt memegang jawatan itu selama empat penggal (1933-1945). Tetapi zaman kepresidenannya ditandai oleh sokongan dan pengaruh yang kuat. Beliau berada di situ atas dasar demokrasi yang kalau dibandingkan dengan Malaysia atau negara-negara primitif lain jauh bezanya. Memang selepas beliau Perlembagaan Amerika Syarikat dipinda dan seorang hanya boleh memegang jawatan presiden selema dua penggal berturut-turut. Tetapi itu dilakukan secara terbuka dan demokratik. Dengan kata lain itu adalah kehendak rakyat.
Para penyokong Barisan yang turut ke jalanan itu sepatutnya ingat hakikat itu. Mereka perlu buktikan bahawa Lim Guan Eng dan Nik Aziz sudah kehilangan sokongan. Tetapi ia perlu dilakukan di dalam dewan. Bukan di luar. Ketua Polis Kelantan dan Pulau Pinang pun kena tahu hakikat ini. Undang-undang ini terpakai kepada kedua-dua pihak, Barisan dan Pakatan.
*Profesor Dr Abdul Aziz Bari mengajar undang-undang di UIAM, Gombak.
Friday, December 4, 2009
RIBUAN RAKYAT BERBILANG KAUM SOKONG TGNA







KOTA BHARU, 4 Dis: Pusat bandar Kota Bharu penuh sesak dengan kebanjiran lautan manusia menghadiri perhimpunan menyokong kepimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Apa yang jelas ia ratusan kali ganda lebih ramai berbanding demontrasi mendesak Menteri Besar Kelantan meletak jawatan di hadapan Kota Darulnamim Selasa lalu, kata Ketua Penerangan PAS, Ahmad Baihaki Atiqullah.
Biarpun cuaca redup dengan hujan sekali sekala lebat, ia tidak menghalang puluhan ribu rakyat Kelantan hadir menyatakan kasih dan sayang mereka kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz.
Ada yang datang dari Besut, Gua Musang, Jeli, Kuala Krai dan negeri-negeri lain bagi meramaikan lagi perhimpunan tersebut.
Pelbagai sepanduk dapat dilihat, ada yang bertulis ‘Kita Sayang Tok Guru Kita’, ‘Kami Menyokong Kepimpinan Tok Guru Nik Aziz’, ‘Royalti bui-builah (bagi-bagilah)’ dan ramai yang memakai lilit kepala bertulis ‘We Love Tok Guru’.
Tidak kurang juga kelihatan ramai anggota polis yang terpaksa berkawal di sepanjang jalan.
Medan Ilmu di Jalan Tok Pati menyaksikan sokongan terhadap kepimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz tidak pernah surut.
Hadir sama anggota-anggota Exco kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat, Ketua-ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan, Datuk Mohamed Daud dan penduduk bukan Islam serta pemimpin KeADIlan negeri.
Lebih menarik lagi apabila pemimpin masyarakat Cina, India dan Siam turut berucap di hadapan ribuan yang hadir.
Ah Seng mewakili masyarakat Cina menyatakan kaum tersebut di Kelantan dapat hidup aman damai di bawah pemerintahan PAS yang dipimpinan Tok Guru.
“Masyarakat Cina berdiri teguh di belakang Tok Guru. Kami masyarakat Cina menentang keras usaha-usaha pihak lawan yang mahu menjatuhkan Menteri Besar,” katanya diikuti laungan takbir orang ramai.
Tharuman wakil masyarakat India juga menyatakan masyarakat India di Kelantan memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada Tok Guru.
Ucapan dalam bahasa Tamil membuat orang ramai menjadi riuh rendah seketika.
Wakil institusi pondok tradisional di Kelantan, Ustaz Awang Yusof dari Pondok Gelang Mas, Pasir Mas secara terbuka meminta rakyat Kelantan tanpa mengira agama dan bangsa memberi sokongan padu kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz.
Wakil KeADILan yang begitu bersemangat berucap berkata, ribuan rakyat yang hadir hari ini tidak dibayar sesen pun untuk hadir menyatakan sokongan kepada Menteri Besar.
“Tidak ada sebuah kerajaan yang bersih di negara ini kecuali Kelantan sepanjang ditadbir Tok Guru hampir 20 tahun,” ujarnya.
Beliau juga mencabar pemuda Umno berdebat pada bila-bila masa untuk membincang isu royalti yang menjadi hak milik rakyat negeri ini cuba dinafikan perdana menteri.
Thursday, December 3, 2009
HIMPUNAN 10,000 RAKYAT DI KOTA BHARU SOKONG TOK GURU

KITA NAK TENGOK MACAM MANA TINDAKAN POLIS....KALAU BN BUAT BOLEH...KALAU PIHAK LAIN BUAT DIA KACAU TAK.....
Tuesday, December 1, 2009
LAGI DEMO DI NEGERI PR .....MERIAH...MERIAH...



Beratus-ratus penyokong Umno mengadakan bantahan terhadap Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung hasratnya untuk berdoa memburukkan perdana menteri dan parti itu.
Mereka berkumpul kira-kira sejam bermula 10 pagi tadi di depan kompleks pentadbiran kerajaan Kota Darul Naim, yang menempatkan pejabat menteri besar, untuk menyerahkan memorandum kepada setiausaha pemimpin PAS itu Annual Bakri Haron.
Memorandum itu mendesak Nik Abdul Aziz memohon maaf kepada Datuk Seri Najib Razak dan juga menggesa mursyidul am PAS meletakkan jawatannya.
Dikepalai timbalan ketua bahagian Umno Pasir Mas, Che Johan Che Pa, kumpulan penunjuk perasaan itu melaungkan desakan agar Nik Abdul Aziz melepaskan jawatan menteri besar, selain kain rentang yang membuat tuntutan yang sama.
Tokoh PAS itu membuat ugutan berdoa laknat itu sebagai reaksi kerajaan pusat yang enggan memberi royalti minyak kepada Kelantan, sebaliknya membayar wang ehsan kira-kira RM1 bilion.
Nik Abdul Aziz kemudian menjelaskan bahawa doa yang dimaksudkan itu hanya meminta Allah memperbetulkan fikiran Najib iaitu memberikan royalti gas dan petrol kepada negeri tersebut.
Malam tadi Pemuda PAS Kelantan membuat aduan polis apabila tercetus ura-ura satu perhimpunan akan diadakan di situ yang dikatakan anjuran kumpulan yang dikenali Jemaah Prihatin Rakyat Kelantan.
Rancangan mengadakan demonstrasi itu disebarkan melalui mesej SMS mulai semalam, lapor media rasmi parti itu Harakahdaily.net.
BERDEMO BUKAN BUDAYA KITA ..... KAH KAH KAH ...PTUIHHHH
"Berdemo dibolehkan kerana ia adalah hak rakyat untuk melahirkan perasaan tidak puas hati terhadap kepimpinan tetapi biarlah bersopan bukan seperti samseng jalanan tanpa menghormati Dewan yang sedang bersidang. Polis hendaklah bertindak wajar dengan tugasan mereka menjagai keamanan. Bukan membiarkan pendemo bertindak sesuka hati, riuh rendah dan memalukan, ".
Kata-kata di atas dituturkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, dalam sidang akhbar ketika masa rehat Persidangan Kali Ke Tiga Dewan Undangan Negeri Penggal Ke Tiga Dewan Undangan Negeri Yang Ke Dua Belas pagi tadi. Lim mengulas tindakan sekumpulan penyokong Umno yang berdemo dan membuat kecoh di luar Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. Penyokong-penyokong Umno ini sebahagiannya berwajah ahli MIC, PPP dan KIMMA telah menghamburkan kata-kata kesat, selain membakar gambar Lim Guan Eng.
Ini bukanlah kali pertama penyokong Umno bikin kecoh dan berdemonstrasi. Ia bukan saja berlaku di Pulau Pinang, tetapi di negeri-negeri lain yang dikuasai oleh PR. Sekurang-kurangnya dua perkara yang menarik perhatian mengenai demo penyokong Umno itu. Pertama, ia dilakukan oleh penyokong parti yang dulu pernah berkata 'demonstrasi bukan budaya kita', tapi kini ia telah menjadi sebahagian dari budaya tetap mereka. Kedua, aksi pekak badak polis apabila berhadapan dengan demo penyokong Umno. Jika yang berdemonstrasi penyokong PR, awal-awal lagi polis pekak badak itu telah membuat sekatan di sana sini bagi menggagalkan demonstrasi. Tapi jika yang melakukannya orang Umno/BN, polis pekak badak itu buat-buat tidak dengar dan tidak nampak sahaja, hingga di depan pagar DUN pun mereka dibenarkan berkumpul. Tiada tangkapan, tiada sesiapa yang cedera dipukul polis seperti yang mereka lakukan jika ia dianjurkan oleh penyokong PR.
Ini memang benar-benar kes pekak badak. Jika polis yang menjaga ketenteraman itu cuma pekak biasa, pekak manusia, mereka akan bertindak adil tidak kira yang berdemo itu penyokong PR atau Umno. Jika penyokong PR boleh ditendang, dipukul dan pernah ditembak seperti di Terengganu dulu, mereka juga akan melakukan perkara yang sama terhadap penyokong Umno. Tapi kerana mereka ada penyakit pekak badak, mereka hanya bertindak macam badak, menyondol jika nampak sesiapa yang tidak disukai saja.
Jika penyakit pekak biasa ada alat bantu pendengaran, saya tidak tahu sama ada penyakit pekak badak ini ada sesuatu alat bagi memulihkan pendengaran polis yang menghadapinya. Mungkin Syarikat PekakBadak 1Malaysia boleh membekalkan alat bantu pendengaran khas untuk anggota-anggota polis kita.
~ pendikar gunung kriang
Tuesday, August 4, 2009
Pengalaman Pertama Berdemo Zaid Ibrahim
Hari ini (1 Ogos 2009) buat kali pertama dalam sejarah hidup saya, saya menjadi mangsa bom gas pemedih mata. Pedih sungguh mata dan hati saya! Inilah pengalaman saya berhimpun dan berarak bersama dengan berpuluh ribu rakyat Malaysia di Kuala Lumpur. Ia benar-benar membuka mata saya di samping memberi banyak pengajaran.
Saya amat terkejut kerana tidak menyangka betapa kejamnya polis bertindak terhadap rakyat yang hanya berhimpun dan berjalan secara aman. Rakyat hanya mahu meluahkan perasaan tentang buruknya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang perlu dimansuhkan secepat mungkin. Rakyat kita tidak membawa senjata; mereka hanya membawa anak-anak untuk menyedarkan warga kecil betapa kejamnya ISA. Lelaki, perempuan, tua dan muda, pelbagai kaum, bermacam agama, semuanya berhimpun secara aman di ibu kota. Hak untuk berhimpun secara aman adalah hak asasi rakyat. Tapi nampaknya hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan ini sudah tidak ada guna lagi. Hak kita sudah hancur kerana polis yang bersenjata, yang berkuasa penuh, yang sombong dan angkuh, kini telah menentukan hak kita. Bila polis kata perhimpunanan itu haram, maka kita semua yang berhimpun atas dasar kebebasan dan hak yang telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, telah menjadi mangsa kekerasan polis. Ya, polis yang mengaku diri sahabat rakyat, kini menunjukkan belang sebenar mereka. Tak sangka, dengan sedikit kuasa itu, mereka sudah merasakan diri seperti Fira’un.
Saya sebagai warga Malaysia yang prihatin telah turut sama menyertai perhimpunan aman ini. Tapi saya bersama dua anak saya dan kawan-kawan lain tak tahu ke mana mahu dituju kerana polis telah tutup banyak jalan. Kami hanya mahu ke Istana Negara untuk menyaksikan penyerahan memorandum anti-ISA. Kami telah tersepit di sebatang jalan dekat Masjid Negara. Ramai yang berarak menghala ke Jalan Kuching ke arah Selangor Club; kami pun ikut sama. Niat kami hanyalah untuk bersama-sama orang ramai menunjukkan sokongan. Tetapi bila sampai sahaja di belakang Selangor Club, polis dengan ganasnya telah menyembur gas pemedih mata dan menggunakan pncutan air tekanan tinggi. Lintang-pukang orang berlari. Saya pun tunggang-langgang lari.
Polis kemudian meminta orang ramai bersurai. Tetapi ke mana nak bersurai kerana semua jalan sudah ditutup. Tak ada cara lain kecuali patah balik ke arah Masjid Negara. Saya pun bersedia untuk bersurai. Tapi bila sampai dekat dengan Masjid Negara, ada pula sekatan jalan polis. Di situlah saya lihat orang ramai angkat tangan supaya polis membenarkan mereka bersurai ke arah bagunan Dayabumi. Saya juga angkat tangan kerana kami memang nak bersurai. Ada dua orang wanita tua bersama saya yang merah serta berair mata mereka di samping terbatuk-batuk akibat bom gas pemedih mata. Sa orang peserta lelaki yang cacat anggota dengan crutches nya tidak dapat lari. Saya tak tahu apa nasib maanusia berani ini. Kasihan saya melihat mereka semua.
Rupa-rupanya polis sudah berniat jahat. Tanda angkat tangan tidak ada erti kepada mereka. Walau pun melihat ramai antara kami yang sudah mahu bersurai, polis terus melepaskan bom pemedih mata. Saya dapat lihat wajah-wajah polis berkenaan, kebanyakannya orang Melayu, yang penuh benci dan kesumat dendam. Maka terpaksa lagi kami berlari elakan diri. Tapi nak ke mana lagi? Di Jalan Kuching dekat Selangor Club pun polis sudah melemparkan bom pemedih mata. Bom dari canisters yang tidak ada jenama kata kawan saya. Bererti bom jenis buatan haram. Dinegara kita apa pun boleh dilakukan Ramai orang termasuk saya terpaksa lari masuk ke dalam hutan kecil berhampiran Jalan Kuching dengan melompat pagar bangunan di situ. Mujur juga ada pengawal keselamatan di situ yang baik hati yang telah melepaskan kami keluar dari perkarangan bangunan tersebut. Semoga Allah membalas budi baiknya. Di sana barulah kami dapat keluar untuk bersurai. Masa itu mata kami semua sudah merah, suara parau dan seluar koyak akibat terpaksa melompat pagar. Saya pun baru sedar bila sudah berumur begini lutut sudah tidak sekuat waktu muda dulu.
Memang jelas hak dan kebesan kita semakin terhakis. Apa yang polis lakukan dengan cara mengepung orang ramai yang hanya mahu berhimpun secara aman dan membelasah mereka dengan semburan air dan bom pemedih mata adalah untuk menunjukan kepada rakyat bahawa kerajaan Barisan Nasional tidak peduli dengan kehendak dan keperluan rakyat. Mereka mahu mengajar rakyat Malaysia bahawa era Pak Lah yang mahu mencuba membuka ruang kebebasan sudah tidak wujud lagi. Ini era Najib yang tak mahu dengar dan tak terima pandangan rakyat.
Bagi polis yang jelas bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional, mereka mahu rakyat takut kepada mereka. Mereka tidak mahu kita di Malaysia bebas seperti Indonesia dan Filipina yang memberi rakyat peluang bersuara dan berhimpun secara aman. Mereka mahu semua rakyat sedar bahawa Malaysia adalah Negara Polis seperti Myanmar. Sesiapa yang berhimpun dianggap bersalah kecuali mereka yang berhimpun untuk menyokong Najib dan pemimpin UMNO yang lain. Inilah mesej 1Malaysia ciptaan Najib yang memberi amaran kepada rakyat bahawa kekerasan akan digunakan pada bila-bila masa sahaja demi mengekalkan kuasa.
Tapi rakyat Malaysia termasuk saya juga ingin menyampaikan berita kepada Najib. Kita akan berkorban apa saja untuk menentang kekejaman dan kezaliman. Kita yakin kita di pihak yang benar kerana kita menentang salaha guna kuasa, penyelewengan dan rasuah. Kuasa rakyat akan menang juga suatu hari nanti di negara Malaysia yang tercinta ini, InsyaAllah.