anjung setiawangsa Headline Animator


Wednesday, October 28, 2009

Anak Ibrahim dan Anak Ali


Saya tampil untuk menjelaskan kekeliruan yang timbul ekoran percaturan media milik pemimpin elit UMNO dan perasuah negara. Editor upahan menulis fitnah dan membuat kerja ‘sial’ demi menjamin kelangsungan kuasa politik UMNO dan mempertahankan perasuah dan perompak khazanah negara.
Tulisan wartawan kanan Joceline Tan dalam Sunday Star pada 25 Oktober 2009 bertajuk “Lobby for hot seat warms up“ mengundang pelbagai reaksi dan persoalan. Editor media UMNO dan Barisan Nasional juga sudah memulakan serangan terhadap saya dengan mengupah pengemis-pengemis politik yang sudah bankrap untuk membuat kenyataan media yang cuba menimbulkan prasangka buruk terhadap saya. Antara lain saya dituduh mendapat layanan istimewa dari YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan juga Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Ismail.
Saya merasakan adalah lebih adil jika rakyat dan ahli parti KEADILAN dan Pakatan Rakyat mendapat penjelasan terus dari saya. Saya berharap penulisan ini dapat membantu pembaca membuat penilaian yang adil.
Siapa 3 Anak Ibrahim ? Anwar Ibrahim, Khalid Ibrahim dan Zaid Ibrahim. Mujurlah tidak dikaitkan dengan Ibrahim Ali ! Kita perlu wacana lain untuk membicarakan soal 3 anak Ali dalam PAS. Mustaffa Ali, Hasan Ali dan Ibrahim Ali.
Anwar Ibrahim bukan ahli politik semacam Mahathir. Anwar adalah negarawan dan pemikir bangsa. Anwar berpegang kepada prinsip bahawa persaudaraan dan persahabatan perlu ‘transcend political partisanship’. Perjuangan Anwar bukanlah kerana kedudukan untuk menjadi Perdana Menteri tetapi beliau adalah Bapa Reformasi – mendukung agenda perubahan untuk kesejahteraan rakyat Malaysia. Justeru itu, jatuh bangun dalam perjuangan mendidik Anwar untuk menjadi ‘a better leader and not a bitter leader’. Walaupun YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim difitnah, dihina, dipukul, diracun dan dihumban ke dalam tembok kezaliman selama 7 tahun, beliau kembali bangun dengan gagah untuk meneruskan perjuangan dan mendapat dukungan serta rasa hormat dari kawan dan lawan.
Mahathir bukan pejuang, jauh sekali reformis. Hidup dan matinya adalah politik. Sebab itu, Mahathir sering mengungkapkan kata-kata bahawa ‘there is no permanent enemies and no permanent friends in politic’. Beliau kini berseorangan menghabiskan sisa-sisa hidupnya bersama Hasmah Ali dan Ibrahim Ali. Kroni-kroni dalam UMNO dan korporat sudah menjauhkan diri mereka dari Mahathir.
Ada yang berpandangan bahawa Anwar Ibrahim mentadbir secara ‘pecah dan perintah’. Inilah persepsi orang yang tidak mengenali secara dekat falsafah Anwar Ibrahim. Anwar sebenarnya menganjurkan kita untuk mengambil sikap berlapang dada, lebih accommodative dan meraikan perbedaan pendapat demi pengukuhan perjuangan. YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah seorang yang ‘very demanding’ dan mensasarkan ‘high expectation’ di kalangan orang-orang kepercayaannya.
Orang yang lama bersama perjuangan Anwar akan memahami prinsip ini termasuklah Khalid Jaafar, Dr. Mansor Othman, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang dan saya sendiri. Yang baru bertatih untuk mendekati Anwar akan melihat sebaliknya; lalu tergelincir dalam perjuangan dan menjadi pecacai Sang Perasuah dan kini tenggelam sebagai sampah masyarakat.
Mari saya baca watak Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga saya kenali selama hampir 20 tahun. Khalid Ibrahim adalah tokoh korporat yang berwajah DEB dan kini melangkah dengan berani untuk membawa perubahan besar dalam memartabatkan orang Melayu. Khalid telah melihat perkembangan DEB dan pastinya benci kepada kebejatan dan kemusnahan agenda Melayu dalam perlaksanaan DEB. Tan Sri Khalid Ibrahim kekal sebagai pemimpin Melayu yang berpaksikan prinsip keadilan dan bukan Melayu kroni.
Saya sendiri pernah menegur dan mencuit Tan Sri Khalid dengan niat untuk membantu beliau di Negeri Selangor menjana pertumbuhan ekonomi serta menjamin kesejahteraan rakyat dan pada masa yang sama peka terhadap tuntutan politik. Khalid terima teguran secara berlapang dada dan tidak melatah walaupun dilontarkan provokasi oleh media jahanam UMNO.
Orang ketiga ialah Zaid Ibrahim. Beliau berwajah liberal dan profesional. Peranan Zaid semakin mencabar untuk mengimbangi kehidupan masa kini yang mendepani kelompok fanatik kaum dan agama. Pakatan Rakyat memiliki aset penting seperti Zaid untuk berperanan memperkasa agenda bersama dalam kerangka besar Pakatan Rakyat.
Saya bersyukur dapat mengenali dan bekerja sebagai satu pasukan dengan tiga anak Ibrahim yang berlainan dimensi tetapi berpegang kepada prinsip perjuangan yang luhur dan ikhlas.
Persoalan yang hangat diperkatakan hari ini ialah mengapa saya mendapat layanan istimewa ? Saya menjawab mudah dengan senyuman. Saya mengambil pengajaran dari Nabi Yusuf a.s. yang meriwayatkan kisah 7 tahun kemarau disusuli dengan 7 tahun yang subur. Nabi Yusuf a.s. adalah seorang yang amat dicemburui oleh ahli keluarganya sendiri dan juga sanak saudaranya sehingga dihumban ke dalam perigi. Namun, berkat kesabaran dan istiqamah, Nabi Yusuf a.s. akhirnya diberikan tanggungjawab untuk memikul amanah memimpin dan membawa kesejahteraan di Mesir.
Mungkin ada yang cemburu dengan saya kerana kesetiaan dan kepatuhan saya kepada perjuangan KEADILAN yang murni ini. Mungkin ada yang cemburu kerana prestasi kerja saya untuk memperkasa parti seperti yang ditulis oleh Joceline. Mungkin ada yang cemburu kerana kesetiaan saya kepada idealisma perjuangan yang dibawa oleh Anwar Ibrahim. Saya terima semua ini sebagai cabaran yang positif dan persaingan yang sihat.
Ayuh, rakyat Malaysia. Kita bangun dan lawan perosak dan penjahanam negara iaitu pemimpin elit dan bangsawan UMNO dan Barisan Nasional. Marilah kita bina Malaysia Baru yang lebih selamat dan sejahtera untuk rakyat Malaysia.
AZMIN ALI

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...