Tun Musa Hitam senada dengan pendirian bekas pengerusi dan pengasas Petronas Tengku Razaleigh Hamzah bahawa pembayaran wang royalti atau ihsan seharusnya diserahkan kepada kerajaan negeri untuk diuruskan sebagaimana diperuntukkan mengikut undang-undang.
Biar apapun istilah pembayaran wang berkenaan, ia mesti dibuat kepada kerajaan negeri dan bukannya dikendalikan oleh kerajaan pusat dengan mewujudkan jawatankuasa khas, kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Sama ada wang ihsan ke royalti, itu tak mustahak. Asalkan mereka menggunakannya untuk pembangunan rakyat. Kita harus wujudkan satu sistem di mana kita boleh memantau penggunaan wang itu, walaupun kuasanya diberikan kepada negeri berkenaan,” katanya.
Pandangan ini dibuat ketika soal wang royalti menjadi isu politik hangat buat masa sekarang dengan Tengku Razaleigh, bekas menteri kewangan dan Ketua Umno Gua Musang berulang kali menegaskan Kelantan berhak menerima royalti atau bayaran tunai tetapi bukannya wang ihsan yang ditentukan kerajaan pusat.
Musa, yang pernah bergandingan dengan Tengku Razaleigh pada pemilihan Umno tahun 1987 melawan kepimpinan Presiden Umno ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad, menyedari pandangannya ini mungkin akan menimbulkan keresahan di kalangan pemimpin Umno.
Musa juga percaya bahawa Tengku Razaleigh tahu apa yang beliau pertahankan.
“Saya fikir Tengku Razaleigh arif dalam hal ini, oleh sebab dia dulu dengan Petronas, dia dalam kerajaan,” katanya.
Kerajaan Kelantan pada tahun lalu menuntut royalti RM2 bilion hasil operasi cari gali minyak di perairannya daripada kerajaan pusat. Namun kerajaan pusat mendakwa Kelantan tidak layak menerima royalti berkenaan kerana dua telaga minyak berkenaan terletak di kawasan 150 batu nautika dari perairannya.
Sebaliknya kerajaan pusat melalui perbincangan dengan Petronas memutuskan untuk membayar RM20 juta dalam bentuk wang ihsan kepada Kelantan iaitu lima peratus hasil pengeluaran gas di Blok Medan Bumi Selatan.
Pembayaran itu akan dibuat sebelum akhir bulan ini.
Untuk tujuan itu kerajaan pusat menubuhkan Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin yang juga Timbalan Pengerusi Umno Kelantan.
No comments:
Post a Comment