anjung setiawangsa Headline Animator

Tuesday, July 19, 2011

Keluarga Allahyarham Baharuddin Gesa Prosiding Khas Siasat Kematian


Keluarga dan pimpinan Pakatan Rakyat terus mendesak agar satu prosiding khas atau siasatan dilakukan kerajaan berhubung kematian peserta Bersih 2.0, Baharuddin Ahmad dilakukan dengan segera.

Peguam keluarga Baharuddin berkata, keluarga mangsa telah membuat satu lagi laporan polis semalam untuk mendesak pihak berkenaan supaya tidak memutarbelitkan kematian Allahyarham.

Ahmad Jufliz Faiza berkata prosiding khas itu perlu memandangkan keterangan-keterangan saksi di tempat kejadian bercanggah dengan versi kematian Allahyarham yang dihebahkan oleh pihak polis

"Terdapat beberapa saksi memberitahu kami sekeluarga bahawa semasa arwah berada di kawasan dan tempat kejadian, pihak FRU telah menembak beberapa das gas pemedih mata ke arah peserta perhimpunan Bersih untuk menyuraikan perhimpunan tersebut dan pada masa sama polis bertindak dan melakukan kekerasan lebih dari yang dibenarkan oleh undang-undang.

“Walaupun tiada penentangan berlaku di kalangan peserta perhimpunan dan akibat daripada kekerasan itu termasuk kelewatan untuk memberi bantuan kecemasan kepada beliau menyebabkan kematiannya.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Amar Singh berkata laporan bedah siasat awal menunjukkan mangsa meninggal dunia akibat penyakit jantung yang dialaminya.

"Kami memohon dan berharap agar saksi-saksi yang berada dan mengetahui apa sebenarnya yang berlaku pada hari itu sehingga menyebabkan kematian beliau tampil menolong kami.

"Kami telah membuat laporan polis semalam dan memohon agar satu prosiding khas bagi satu siasatan mengenai kematian beliau dibuat dalam masa tujuh hari dari tarikh laporan dibuat," terang Jufliz dalam sidang media di sini hari ini.

Baharudin meninggal selepas pengsan di perkarangan KLCC. Mengikut laporan awalnya, Baharudin sesak nafas selepas terkena gas pemedih mata yang ditembak pasukan keselamatan ke arah orang ramai yang menyertai perhimpunan itu.

Namun, cerita lain mula merebak sebaik sahaja jenazah Allahyarham dikeluarkan dari rumah mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas menjalani post mortem.

Sehingga kini, laporan post mortem tidak dikeluarkan oleh hospital kepada keluarga mangsa. Ia menjadi tanda tanya kepada keluarga kerana laporan itu tidak dikeluarkan sedangkan mayat dibenarkan untuk dikebumikan.

Usaha anak Allahyarham yang merupakan seorang doktor di HKL untuk mendapatkan laporan juga dikatakan tidak berjaya

Polis telahpun membuat kenyataan bahawa mangsa meninggal dunia akibat penyakit jantung yang dialaminya.

Setakat ini, keluarganya hanya menerima surat kebenaran membawa keluar jenazah untuk dikebumikan, namun masih belum menyatakan sebab kematian kerana masih menunggu hasil ujian makmal.

"Kami amat hairan kami tidak dibekalkan laporan rasmi awal post mortem tersebut tetapi pihak lain boleh membuat beberapa kenyataan rasmi terhadap kematian beliau tanpa persetujuan rasmi kami," kata beliau lagi.

Lebih malang lagi, beliau yang turut ditemani oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan Dr Tan Seng Giaw dan Pengerusi Biro Displin PKR Datuk Dr Tan Kee Kwong menyatakan, sehingga kini pimpinan kerajaan Umno-BN dan polis seolah-olah langsung tiada sensitiviti terhadap kematian Baharuddin.

"Amat menyedihkan sehingga hari ini, tidak ada sepatah pun perkataan takziah kami terima dari pihak polis mahupun kerajaan. Ini menunjukkan tiada langsung sensitiviti mereka ke atas kematian arwah Baharuddin Ahmad. Sebaliknya kami terharu, hampir semua pemimpin Bersih, NGO dan pemimpin PR telah meluangkan masa walaupun dengan jadual ketat telah datang ke rumah kami mengucapkan takziah," kata beliau. -tvsnews


Keluarga Baharudin belum terima laporan awal bedah siasat

PETALING JAYA: Keluarga Allahyarham Baharudin Ahmad yang meninggal dunia ketika menyertai perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu masih belum menerima laporan awal bedah siasat mengenai kematiannya.

“Kami amat hairan kerana tanpa laporan itu dan tanpa persetujuan pihak keluarga ada pihak lain boleh membuat kenyataan rasmi berhubung kematian beliau,” kata Ahmad Jufliz Faiza, peguam yang mewakili keluarga Baharudin dalam satu kenyataannya hari ini.

Menurut Ahmad Jufliz, pihak keluarga turut bersedih memandangkan sehingga kini tiada ucapan takziah diterima daripada pihak polis mahupun kerajaan.

Sebaliknya pihak keluarga terharu dengan hampir semua pemimpin Bersih, NGO dan pemimpin dari kalangan Pakatan Rakyat yang sudi meluangkan masa untuk menziarahi mereka.

“Terdapat beberapa saksi memberitahu kami sekeluarga bahawa semasa arwah berada di kawasan dan tempat kejadian, pihak FRU telah menembak beberapa das gas pemedih mata ke arah peserta perhimpunan Bersih untuk menyuraikan perhimpunan tersebut dan pada masa sama polis bertindak dan melakukan kekerasan lebih dari yang dibenarkan oleh undang-undang.

“Walaupun tiada penentangan berlaku di kalangan peserta perhimpunan dan akibat daripada kekerasan itu termasuk kelewatan untuk memberi bantuan kecemasan kepada beliau menyebabkan kematiannya.

Kami percaya jika pihak kerajaan dan polis lebih berhati-hati, bertanggungjawab dan berperikemanusiaan kejadian ini boleh dielakkan,” katanya.

Pihak keluarga juga berharap agar saksi-saksi yang berada di tempat kejadian dan mengetahui kejadian itu untuk tampil dan membantu mereka.

Satu laporan polis juga telah dibuat semalam dan memohon agar satu siasatan mengenai kematian Baharudin dibuat dalam masa tujuh hari. -FMT

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...