Ekspedisi mengenalpasti kedudukan pelantar minyak Kelantan bermula pagi ini dengan disertai oleh 60 peserta. Mereka dilepaskan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakub dan diketuai oleh Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa.
Sebelum berlepas, Husam memberikan taklimat kepada para peserta yang terdiri dari Adun, Anggota Parlimen, pegawai kerajaan, wartawan dan blogger di samping juruukur profesional yang dilantik oleh kerajaan negeri. Turut serta adalah wartawan The Malaysian Insider.
Mereka bertujuan untuk mengesahkan kedudukan pelantar minyak itu adalah dalam kawasan perairan Kelantan dan dengan itu kerajaan negeri berhak mendapat royalti minyak lima peratus dari Petronas.
Sasaran mereka adalah pelantar Cakerawala yang dijangka akan mereka temui selepas 8-10 jam berlayar dengan kapal nelayan laut dalam. Mereka menggunakan tiga buah kapal dan bertolak jam 10 pagi tadi. Satu berlepas dari Tok Bali manakala dua lagi berlepas dari Pengkalan Kubur.
“Ini adalah misi moral dan menuntut moral Umno agar menunaikan hak rakyat Kelantan,” kata Husam dalam taklimatnya.
Tuntutan hak royalti minyak untuk Kelantan menjadi isu utama menjelang pilihan raya kecil Manek Urai baru-baru ini. Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menghantar surat kepada Perdana Menteri menuntut RM1 bilion royalti dari Petronas.
Bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah dalam suratnya kepada Nik Aziz bersetuju dengan tuntutan itu dan menyifatkan ianya sebagai hak kerajaan negeri Kelantan. Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim juga menyokong tuntutan Kelantan itu. Katanya, Tengku Razaleigh sendiri yang menandatangani perjanjian itu dengan Muhamad Nasir, Menteri Besar Kelantan ketika itu.
Ketika melawat Kelantan 1 Ogos lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, tuntutan ini sedang dikaji oleh kerajaan pusat. -MI
Tuesday, August 4, 2009
Ekspedisi Ke Pelantar Minyak Kelantan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment