anjung setiawangsa Headline Animator


Sunday, August 9, 2009

Kenapa Zulhasnan Menyepi? - Malaysian Insider


Oleh Samsuri Roslan

KUALA LUMPUR 6 Ogos – Selepas hampir lima bulan menyepikan diri, akhirnya Datuk Seri Zulhasnan Rafique muncul di khalayak ahli Umno apabila beliau merasmikan mesyuarat Umno bahagian Setiawangsa pada penghujung minggu lalu di salah sebuah hotel terkemuka di ibu kota.

Zulhasnan yang juga Ketua Umno bahagian tidak hadir dalam beberapa aktiviti yang dianjurkan oleh ibu pejabat Umno Malaysia termasuk menyambut hari kelahiran Umno yang diadakan di PWTC pada Mei lalu dan pilihan raya kecil Dun ManEk Urai di Kelantan.

Dia juga di katakan jarang hadir dalam beberapa program yang berkaitan dengan DBKL sebaliknya diwakili oleh Timbalan Ketua Umno Bahagian, Datuk Halim Abdul Samad.

Difahamkan dia lebih kerap keluar negara yang mungkin dikaitkan dengan beberapa urusan peribadi. Berikutan ini kenyataan bekas Menteri wilayah Persekutuan ini di media masa juga jarang kelihatan.

Dia yang pertama kali bertanding Ahli Majlis Tertinggi Umno dan satu-satunya calon dari Wilayah Persekutuan yang menang dalam Pemilihan Majlis Tertinggi Umno pada Mac lalu.

Zulhasnan juga menang bertanding kerusi Parlimen Setiawangsa dengan menewaskan calon dari PKR dalam pilihan raya umum ke-12 lalu ketika menyaksikan tsunami melanda politik Barisan Nasional (BN) di seluruh negara.

Walaupun menang sebagai Ahli Parlimen dan Ahli Majlis Tertinggi Umno, sebaliknya Perdana Menteri Malaysia yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak telah melantik Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.Raja Nong Chik pula perlu dilantik sebagai Ahli Dewan Negara untuk memegang jawatan tersebut.

Nasib juga tidak menyebelahi Zulhasnan apabila dia juga tidak dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Wilayah. Sebaliknya Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggantikan tempat beliau di samping Raja Nong Chik sebagai Timbalan Pengerusi.

Begitu juga barisan kepemimpinan Umno Wilayah Persekutuan turut ditukar kepada individu lain bagi menggantikan barisan kepemimpinan lama di bawah Zulhasnan dahulu.

Tindakan Najib tidak melantik Zulhasnan sebagai Menteri Kabinet dan Pengerusi Perhubungan Umno telah menimbulkan pelbagai spekulasi di kalangan sebahagian ahli dan kepemimpinan Umno Wilayah Persekutuan mahupun di kalangan Umno negeri lainnya.

Presiden Umno ini tetap mengekalkan Datuk Seri Ali Rustam sebagai Ketua Menteri Melaka dan Pengerusi Perhubungan Umno negeri walaupun dikaitkan dengan isu rasuah. Beliau juga turut mengekalkan jawatan dalam kerajaan dan politik, Datuk Seri Adnan Yaakob, Datuk Seri Md Isa Sabu, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Abdul Ghani Othman walaupun kesemua mereka tewas dalam pemilihan Majlis Tertinggi Umno.

Difahamkan beberapa individu dan pemimpin Umno di Wilayah Persekutan yang berpengaruh kepada Presiden Umno ini tidak menyenangi perlantikan Zulhasnan sebagai Menteri Kabinet dan Pengerusi Perhubungan Umno oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada penghujung 2004 yang lalu.

Walaupun baru memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan dan politik ini, kumpulan ini sentiasa memberi tekanan, isu dan cabaran getir agar ia menimbulkan masalah kepada kepimpinan Zulhasnan dalam kerajaan mahupun parti.

Antara beberapa isu yang ditimbulkan adalah kekalahan calon BN kepada parti pembangkang di Wilayah Persekutuan dalam pilihan raya umum ke-12 lalu, kurang membantu ahli Umno dan orang Melayu dan sebagainya.

Zulhasanan yang dikenali sebagai seorang pemimpin yang tegas dan mempunyai prinsip turut menghadapi tekanan menjelang pemilihan perhimpunan Agung Umno yang lalu agar beliau tewas bertanding Majlis Tertinggi.

Bagaimanapun, kumpulan ini berjaya mencapai misi apabila Najib tidak melantik semula Ketua Umno Bahagian Titiwangsa ini dalam kerajaan mahupun parti apabila Najib mengambilalih jawatan dari Abdullah.

Ketika ditemui beberapa orang Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian menafikan Zulhasnan menyepi diri sebaliknya tetap memberi tumpuan kepada kerja dan aktiviti di peringkat Umno bahagian.

“Dia tetap meminta ahli dan pemimpin Umno bersatu dan bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 akan datang yang masih disifatkan sebagai keadaan tidak menentu terutamanya di kalangan pengundi bukan Melayu,” kata ahli jawatankuasa Umno bahagian ini.

Mereka juga menafikan Zulhasnan kecewa dengan situasi politik beliau masakini sebaliknya mengakui ketua Umno bahagian ini tetap gigih dan ceria.

“Tiada langsung wajah kecewa beliau yang ditunjukkan kepada kami sebaliknya dia meminta kami perlu taat dan akur dengan kepemimpinan Umno yang baru”.

Sementara itu, dalam ucapan perasmian mesyuarat Umno bahagian, Zulhasnan meminta ahli terus memberi kepercayaan kepada kepemimpinan Najib untuk membawa perpaduan rakyat dan kegemilangan negara.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...