Tarikh pendengaran rayuan kes Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh yang telah ditetapkan pada 20 dan 22 September lalu, sekali lagi ditangguhkan oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya pada satu tarikh yang ditetapkan kemudian.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Dr Abd Isa Ismail berkata, keputusan penangguhan dimaklumkan kepada pihaknya dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Anaz Ahmad Zakie setelah menerima satu surat daripada Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada dua minggu lalu.
Menurutnya, dalam surat itu ada menyatakan keputusan penangguhan tarikh pendengaran rayuan kes Kota Siputeh dibuat setelah pihak mahkamah membenarkan permohonan peguam bela bekas ADUN kawasan itu, Datuk Abu Hassan Sarif untuk menunda ke satu tarikh lain.
"Peguam Abu Hassan memberi alasan anak guamnya tidak dapat menghadiri perbicaraan pada kedua-dua tarikh yang ditetapkan atas alasan yang tidak dinyatakan.
"Bagaimanapun, kami akan cuba meminta penjelasan secara bertulis daripada pihak mahkamah untuk mengetahui alasan sebenar yang dikemukakan peguam Abu Hassan," katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian, semalam.
Dr Abd Isa berkata, keputusan mahkamah rayuan itu sememangnya tidak memberikan sebarang impak kepada Kerajaan Negeri sedia ada dan perjalanan sidang DUN pada November nanti.
"Bagaimanapun, ia adalah satu kerugian kepada pengundi DUN Kota Seputeh kerana ketiadaan ADUN untuk mereka meluahkan permasalahan di kawasan Kota Siputeh," katanya.
Sebelum ini, Mahkamah Rayuan Putrajaya memutuskan tarikh pendengaran rayuan kes Kota Siputeh ditetapkan pada 20 hingga 22 September lalu.
Dr Abd Isa berkata, tarikh itu diputuskan oleh Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya selepas pengurusan kes terbabit yang diadakan pada 29 Julai lalu.
"Kerajaan Negeri telah bersedia untuk mengikuti kes itu tidak lama lagi. Kita harap kes ini dapat segera diselesaikan," katanya, ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, pihaknya diberitahu mengenai penetapan tarikh itu menerusi peguam Kerajaan Negeri secara bertulis.
Pada 24 November 2009, Mahkamah Rayuan memutuskan untuk membenarkan penangguhan interim (sementara) yang dipohon oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap keputusan untuk mengosongkan kerusi DUN Kota Siputeh sementara menunggu rayuan.
Hakim Mahkamah Tinggi (Rayuan Kuasa-Kuasa Khas), Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, menolak permohonan SPR untuk menangguhkan perintah terdahulu yang dibuat beliau di Mahkamah Tinggi pada 16 November apabila mengisytiharkan kerusi DUN Kota Siputeh kosong dan Abu Hassan bukan lagi ADUN.
Beliau turut mengarahkan SPR mengeluarkan writ bagi mengadakan pilihan raya kecil.
Bagaimanapun SPR kemudiannya membuat rayuan di Mahkamah Rayuan Putrajaya.
SPR mengemukakan rayuan itu selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan berlaku
kekosongan kerusi DUN Kota Siputeh, seterusnya mengundang satu lagi pilihan raya kecil berikutan kegagalan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan tersebut menghadiri sidang Dewan berturut-turut pada 19 April dan 9 Ogos tahun lalu.
No comments:
Post a Comment