anjung setiawangsa Headline Animator


Thursday, September 23, 2010

RESPON SHAMSUL ISKANDAR KEPADA KETUA POLIS SELANGOR

Saya memandang serius akan dakwaan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang mendakwa saya gagal dihubungi bersabit kenyataan saya mengenai spekulasi kes pembunuhan Sosilawati Lawiya. Ini sehingga membawa kepada kemungkinan waran tangkap dikeluarkan kepada saya berikutan kegagalan saya, kononnya, untuk bekerjasama dengan pihak polis.

Suka saya menegaskan beberapa perkara untuk diambil maklum oleh pihak polis khususnya Datuk Khalid sendiri.

Pertama, saya tidak pernah membuat sebarang tuduhan, sebaliknya saya melontarkan pertanyaan apakah mungkin wujud sebarang bentuk salahguna kuasa dan penyelewengan di peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Banting yang gagal bertindak untuk beberapa kes bunuh terdahulu yang melibatkan suspek, yang telah diklasifikasikan sebagai kes orang hilang. Kes-kes ini, hanya dibuka semula selepas kes pembunuhan Datuk Sosilawati meletus yang nyata mendapat perhatian luar biasa daripada media.

Kedua, ingin saya tegaskan, sehingga hari ini saya tidak pernah dimaklumkan menurut kaedah-kaedah dan amalan undang-undang seperti yang diperincikan di dalam Kanun Acara Jenayah di dalam hal yang bersabit dengan prosedur memberikan sebarang kenyataan untuk membantu siasatan polis. Justeru adalah sangat tidak adil dan tersasar dari lunas undang-undang jika polis mendakwa saya gagal dihubungi sedangkan tidak ada sebarang percubaan menurut kaedah undang-undang untuk menghubungi saya dilakukan.

Saya menggesa pihak polis khususnya Datuk Khalid bersikap profesional dalam hal ini. Sekiranya saya mahu dipanggil, sewajarnya prosedur yang betul dipatuhi, bukannya siasatan melalui media (investigation through media). Sebagai rakyat Malaysia, apatah lagi sebagai pengamal undang-undang saya tertakluk kepada undang-undang, bukannya hebahan media seseorang pegawai kanan polis.

Saya juga akan menghantar sesalinan respons rasmi saya ke laman sosial Facebook Datuk Khalid memandangkan "kaedah Facebook" ini merupakan kegemaran beliau !

Saya telah mengarahkan peguam saya, YB Mohd Yusmadi Mohd Yusoff yang juga merupakan Ahli Parlimen Balik Pulau untuk bertindak bagi pihak saya di dalam isu ini dan berurusan dengan pihak Polis. Beliau boleh dihubungi di talian : +60123093469 atau emel: yusmadi.yusoff@gmail.com.

Saya akan memperincikan pendirian dan kenyataan saya kepada umum bersabit kes ini pada esok, Jumaat 23 September 2010 bertempat di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya pada jam 3.00 petang.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...