anjung setiawangsa Headline Animator

Friday, September 24, 2010

Syabas Tuntut RM308 Juta Kerana Dihalang Naikkan Tarif Air

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) telah menuntut bayaran sebanyak RM308 juta dari Kerajaan Selangor didakwa sebagai “pampasan” kerana terhalang dari menaikkan tarif air di Selangor.
Menurut Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin, Syabas membuat tuntutan itu menerusi dua surat tuntutan bertarikh 15 Septermber lalu dengan memberi alasan kononnya syarikat itu mengalami kerugian disebabkan keengganan Kerajaan Selangor membenarkan tarif air dinaikkan yang dikatakan terkandung di dalam perjanjian konsesi.
“SYABAS pada masa yang sama mengugut untuk mengheret Kerajaan Selangor ke mahkamah jika gagal menunaikan tuntutan mereka dan enggan mematuhi syarat perjanjian,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Faekah bagaimanapun menegaskan Kerajaan Negeri tidak gentar dengan tuntutan Syabas, kerana tidak mahu rakyat Selangor menanggung harga air yang lebih tinggi dari kadar sepatutnya.
“Syarikat itu tidak layak sama sekali untuk menaikkan tarif air sedangkan rakyat Selangor masih berdepan dengan pelbagai masalah air antaranya; bekalan air yang teruk, bekalan air yang tidak berkualiti dan peratusan air tidak berhasil (NRW) yang tinggi disebabkan penyelenggaraan paip yang buruk yang telah mengakibatkan Kerajaan Negeri kerugian berjuta ringgit,” tegas Faekah.
“Jika SYABAS dibenarkan menaikkan tarif air sehingga 37% seperti yang disebut dalam perjanjian konsesi, harga air akan menjadi lebih mahal dari harga petrol hari ini. Kerajaan Negeri tidak akan membenarkan perkara ini berlaku,” tambahnya lagi.
Dalam reaksi yang sama, Faekah berkata Kerajaan Selangor berhak untuk mengheret Syabas ke mahkamah kerana kegagalan syarikat swasta itu mematuhi beberapa asas penting yang terkandung dalam perjanjian konsesi air yang ditandatangani.
“Bagaimanapun, Kerajaan Negeri menangguhkan sebarang niat untuk menggunakan hak sedia ada (undang-undang) bagi menghormati perbincangan pihak-pihak yang terlibat dalam menyelesaikan penstrukturan semula hak konsesi air dan model perancangan yang boleh digunapakai,” jelas Faekah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...