anjung setiawangsa Headline Animator


Sunday, July 26, 2009

UNDI POS atau UNDI TENTERA/ POLIS?

Lebih 14,000 Undi Pos di Parlimen Setiawangsa : UNDI POS atau UNDI TENTERA/ POLIS?

Dalam Piliharaya Umum ke 12 yang lepas, terdapat lebih dari 14,000 Pengundi Pos berdaftar di Parlimen Setiawangsa (P.118). Ini bermakna Pengundi Pos merupakan 25% dari jumlah keseluruhan 57,161 pengundi di Parlimen Setiawangsa. Dua Daerah Mengundi (DM) mempunyai jumlah Pengundi Pos yang paling ramai - PULAPOL (Pusat Latihan Polis) dan MINDEF (Kementerian Pertahanan). Kedua-duanya mempunyai kakitangan yang memberikan khidmat sokongan seperti pentadbiran, latihan, perancangan, strategi dan lain-lain. Mereka pergi kerja setiap hari di PULAPOL dan MINDEF dan tinggal bersama keluarga mereka di kawasan yang berhampiran (pukul-rata di Lembah Kelang). Anak-anak mereka juga bersekolah di kawasan yang sama atau berhampiran.

Pada 8 Mac 2008 yang lepas; kita semua menyaksikan mereka (Pengundi Pos) membuang undi dalam kawasan PULAPOL dan MINDEF.

Pengertian Undi Pos ialah apabila Pengundi tidak dapat menghadirkan diri untuk mengundi di kawasan pilihan raya masing-masing, oleh itu Kertas Undi diisu kepada Pengundi Pos dan dikembalikan kepada mana-mana Pegawai Pengurus berdekatan atau SPR melalui POS!

Kalau dilihat pengertian ini maka kita boleh andaikan bahawa kakitangan PULAPOL dan MINDEF tidak layak dikategorikan sebagai Pengundi Pos kerana pada hari mengundi 8 Mac 2008 yang lepas mereka hadir mengundi dalam lingkungan satu kilometer dari Pengundi Biasa lain di DM Taman Setiawangsa, DM PKNS Batu 6 Ulu Kelang dan DM Keramat Wangsa!

Bayangkan Pengundi Pos Parlimen Setiawangsa hadir sama secara fizikal dengan Pengundi Biasa Parlimen Setiawangsa untuk membuang undi di dalam kawasan pilihanraya yang sama!

Jika begini praktisnya, apa beza Pengundi Pos dengan Pengundi Biasa?

Kita akur bahawa anggota tentera/ polis boleh mengundi secara pos. Tetapi adakah wajib mereka didaftarkan sebagai Pengundi Pos sedangkan mereka tidak-aktif ditugaskan untuk tujuan ketenteraan samada di sempadan atau luar-negara?

Begitu juga dengan pasangan mereka. Jika suami atau isteri adalah tentera yang aktif bertugas di sempadan/ luar-negara; adakah ini bermakna isteri atau suami mereka juga ikut sama bertugas secara aktif? Tidak, bukan?

Kalau masalah teknikal yang menjadi puncanya, maka Pejabat SPR Negeri (Pilihan Raya) Negeri Kuala Lumpur yang terletak cuma beberapa kilometer dari PULAPOL dan MINDEF (Tingkat 3, Bangunan Yayasan Selangor, Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kg Baru) – boleh membantu untuk menukar taraf pengundian Pengundi Pos PULAPOL dan MINDEF kepada Pengundi Biasa!

Malaysia sangat berbangga dengan undang-undang ala-ala Malaysianya - mungkin sudah tiba masanya Kerajaan Malaysia mempertimbangkan menukar nama Pengundi Pos di Parlimen Setiawangsa sebagai PENGUNDI TENTERA/ POLIS. Barulah semua tahu duduk perkara, tak perlu lagi kita berdebat mengapa perlu ada Pengundi Pos yang tinggal sekian lama di Menara Sri Mahang, Menara Sri Pulai, Kelompok Enggang, Kelompok Nuri bersebelahan Pengundi Biasa di Kelompok Embun Emas dalam DM Keramat Wangsa!

Malaysia seringkali mengabaikan pandangan antarabangsa terhadap cara mentadbirnya (governance); jadi tidak hairanlah Malaysia berjaya ’mengukir nama’ di persada antarabangsa. Keratan ini diambil dari http://en.wikipedia.org/wiki/Postal_voting, apabila penulis mencari maksud ’Postal Vote’ :

“In Malaysia, opposition leader and former deputy prime minister Anwar Ibrahim alleged that postal votes have been used by the ruling Barisan Nasional coalition in securing seats in certain constituencies.[8] He also said that in one particular constituency (Setiawangsa), he claimed that his Parti Keadilan Rakyat had actually won during the 2008 elections, before 14,000 postal votes came in awarding the incumbent BN parliamentarian the seat with a majority of 8,000 votes.[9] In Malaysia , only teachers, military personnel, and policemen based away from their constituencies are eligible to submit postal votes.”

Malaysia memang ’cemerlang’ di mata dunia. Malaysia Boleh!



Hasnah Hashim

PKR Cabang Setiawangsa

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...