Kenyataan Media TERAS
28hb Oktober 2010
28hb Oktober 2010
HUB HIBURAN MALAM DAN INDUSTRI SPA DALAM ETP, KERAJAAN HILANG PERTIMBANGAN AKHLAQ DALAM KEGHAIRAHAN UNTUK MENINGKATKAN PENDAPATAN NEGARA.
TERAS membantah keras pelan ETP untuk menjadikan hiburan malam sebagi pendekatan meningkatkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan mengikut yang tercatat dalam dokumen Program Transformasi Ekonomi.
Kami kecewa dan membantah rancangan kerajaan untuk memperbanyakan pusat hiburan malam bagi menganjur acara-acara konsert antarabangsa dengan mengendurkan peraturan yang ada. .
Dalam dokumen ETP didedahkan akan ada 12 projek hiburan untuk meningkatkan pendapatan melalui pelancongan.
Soalnya apakah ini yang ingin ditonjolkan oleh ETP untuk meningkatkan pendapatan dikalangan rakyat di negara ini.? Dimanakah pertimbangan nilai dan budaya tempatan yang sepatutnya ditonjol dan dipertahankan? Adakah ini caranya kerajaan mengutamakan keperluan rakyat?
Kami kesal bila mendapat tahu bahawa peraturan yang sedia ada akan dikendurkan bagi memudahkan pertunjukkan antarabangsa di bawa masuk ke Malaysia.. Bagi kami ini adalah benar-benar tindakan mengadai maruah negara dan nilai akhlaq rakyat diketepikan hanya kerana mahu melayan kehendak pelancong dan mengutamakan komersialisasi kebudayaan hedonistik.
Jelas sekali peraturan yang ada didalam PUSPAL yang menjaga syarat penganjuran pertunjukan dari artis luar akan dikorban kerana mahukan Malaysia lebih mudah menarik persembahan artis dunia.
Melihat kepada kriteria yang ditetapkan untuk mengecualikan mereka dari peraturan PUSPAL akan menjejaskan akhlaq dan budaya kebangsaan. Malah syarat imigresyen juga akan dilonggarkan untuk memudahkan artis luar masuk ke Malaysia.
TERAS membantah keras perbelanjaan RM467 juta yang akan dibelanjakan oleh kerajaan yang diperuntukan untuk tujuan ini. Kononya program ini akan menjana pendapatan RM427 juta dan menyediakan 8,000 pekerjaan.
TERAS berpendirian bahawa ETP yang mahu menetapkan kawasan hiburan khas iaitu di lima zon iaitu Lembah Kuala Lumpur/Klang , Genting Highlands, Penang, Langkawi and Kota Kinabalu melalui kegiatan hiburan malam adalah sangat bertentangan dengan budaya hidup timur dan Islam.
Dalam dokumen ETP dinyatakan 6 kelab malam baru berkapasiti 900 orang pada hujung minggu akan beroperasi pada awal 2012 dan dua lagi akan dibuka pada 2013 dan 2014.
Kerajaan nampaknya sudah hilang pertimbangan akhlaq dalam keghairahan untuk meningkatkan pendapatan negara. Kami sangat terkejut industry spa juga dilihat menjadi sektor yang akan dibangunkan secara lebih meluas di negara ini mengikut pelan dalam ETP.
TERAS mengesa dan mendesak kerajaan menarik balik pelan ini dan mengubahkan hala tuju pembangunan ekonomi negara kepada kegiatan yang lebih sihat berteraskan budaya dan nilai agama .
Haji Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden TERAS
019-4744856
No comments:
Post a Comment