anjung setiawangsa Headline Animator

Wednesday, January 6, 2010

Kenapa polis tidak buat laporan polis sendiri?


Kenyataan Media oleh Lau Weng San di Petaling Jaya pada Selasa, 5hb Januari 2010:
Demonstrasi kalimah “Allah” bersifat menghasut dan menghina mahkamah – kenapa polis tidak buat laporan polis sendiri?


Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Lau Bee Lan telah pada 31 Disember 2009 lepas membuat keputusan bahawa berdasarkan Perkara 11 dan 12 dalam Perlembagaan Persekutuan, majalah Herald berhak menggunakan perkataan itu untuk tujuan tunjuk ajar dan pendidikan bagi penganut agama Kristian.

Keputusan mahkamah tinggi berkenaan dengan penggunaan kalimah “Allah” telah mencetuskan kontroversi. Pelbagai pertubuhan bersayap kanan yang ektremis telah mengadakan tunjuk perasaan di seluruh negara untuk meluahkan perasaan tidak puas hati dan bantahan mereka terhadap keputusan mahkamah ini.

Kejadian ini sekiranya dibiarkan berterusan pasti akan menjejaskan hubungan antara kaum di Malaysia. Persoalannya ialah, mengapakah polis kali ini pula tidak membuat laporan polis sendiri terhadap kumpulan-kumpulan bersayap kanan yang ekstremis ini?

Tindakan kumpulan-kumpulan bersayap kanan ini memang memadai untuk pihak polis mengambil tindakan yang sama terhadap mereka, di mana tindakan mereka ini mempunyai kesan negatif terhadap hubungan antara kaum dan antara agama di Malaysia. Apa yang dilakukan mereka sebenarnya juga bersifat menghasut dan boleh disiasat dan didakwa di bawah Akta Hasutan. Ianya juga akan mengugat integriti gagasan 1Malaysia yang dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib bin Tun Razak.

Mengapa polis tidak membuat laporannya sendiri kali ini terhadap mereka jika polis sanggup berbuat demikian terhadap kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Lim Guan Eng dan kenyataan EXCO Kerajaan Negeri Selangor, YB Ean Yong Hian Wah?

Bukankah polis juga harus mengambil tindakan yang sama terhadap kumpulan-kumpulan yang secara terbuka mengkritik keputusan mahkamah ini? Sebenarnya, tindakan mereka ini bukan sahaja bersifat menghasut tetapi turut mengandungi elemen yang boleh ditafsirkan sabagai menghina mahkamah.

Biarpun kerajaan persekutuan mengatakan bahawa mereka akan memfailkan rayuan mereka ke mahkamah rayuan dan percaya bahawa isu ini dapat diselesaikan dengan bijaksana, kerajaan persekutuan khususnya polis harus dilihat sebagai menjalankan tugasnya dengan adil dan saksama dengan melakukan perkara yang sama sebagaimana apa yang mereka lakukan dalam kes Lim Guan Eng dan Ean Yong Hian Wah.

Jika tidak, polis akan terus dilihat sebagat berat sebelah dan memihak kepada Barisan Nasional oleh orang ramai dan ini semestinya tidak sihat untuk pasukan polis sendiri.

Lau Weng San, Setiausaha DAP Selangor & ADUN Kampung Tunku

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...