anjung setiawangsa Headline Animator

Monday, January 4, 2010

‘Manusia Memang Patut Panggil Tuhan Dengan panggilan Allah - MAZA

Bekas mufti Perlis Dr. Mohd Asri Zainal Abidin berpendapat pihak berkuasa perlu menyediakan garis panduan tentang penggunaan kalimah “Allah” ekoran bantahan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Herald menggunakan perkataan tersebut dalam terbitannya.Dalam kenyataan pertamanya sejak Khamis lalu, Asri juga berhujah bahawa manusia memang patut memanggil Tuhan dengan panggilan Allah.

“Ya, manusia memang patut memanggil Tuhan dengan panggilan Allah. Itulah Tuhan yang sebenar.

“Sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW pun, nama Allah telah digunakan untuk memanggil Tuhan,” katanya.

Bagaimanapun jelas beliau penggunaan kalimah “Allah” untuk tujuan menghina tidak wajar dibenarkan.

“Namun meletakkan nama tersebut dengan tujuan menghina adalah patut ditentang. Ini seperti jika menulis nama Allah pada berhala,” kata beliau dalam tulisan blognya di bawah tajuk “Isu Nama Allah: Kenyataan Pertama Dr. Mohd Asri”.

Beliau menjelaskan, “jika mereka berkata Allah Tuhan semesta alam, itu tidak menjadi masalah kerana itu kenyataan yang benar.

“Kuffar Quraish pun memanggil Tuhan Allah, tetapi tidak menamakan berhala mereka Allah,” ujar beliau.

Oleh itu kata beliau, jika keputusan mahkamah mengenai penggunaan nama Allah itu hendak dipakai, garis panduan dan peraturan hendaklah dibuat.

“Maka peraturan mesti dibuat. Elakkan perbalahan kaum tanpa melihat kepada penyelesaian terlebih dahulu. Saya akan mencadangkan beberapa garis panduan selepas ini,” jelas Asri.

Dalam artikel disiarkan sebelum ini, Asri pernah berkata bukan soal nama “Allah” itu yang terlalu perlu untuk direbut atau dijadikan agenda besar.

“Tetapi, gerakan membina semula akidah yang sejahtera dan memahamkan generasi kita wajah Islam yang sebenar agar mampu bersaing dan menghadapi cabaran zaman,” katanya.

Khamis lalu Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Herald boleh menggunakan perkataan “Allah” dalam penerbitannya.

Hakim Datuk Lau Bee Lan, dalam keputusan lisannya menegaskan bahawa Herald mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan perkataan itu dalam majalah berkenaan untuk menyebarluaskan agama Kristian dan bukannya agama Islam.

Beliau berkata lanjutan kepada Artikel 11(4) Perlembagaan Persekutuan, adalah menjadi kesalahan bagi bukan Islam untuk menggunakan perkataan “Allah” kepada umat Islam untuk menyebarluaskan agama itu.

Bagaimanapun, ia bukanlah satu kesalahan untuk bukan Islam menggunakan perkataan itu kepada bukan Islam bagi tujuan agama, kata Lau.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...