Oleh Khalid Samad
Kerajaan BN telah meninggalkan banyak perkara yang perlu diperbetulkan oleh kerajaan PR selepas kami mengambil alih. Selain dari penyelewengan dan salah guna kuasa yang menjadi bagaikan ‘signiature’ BN, terdapat juga persoalan projek-projek terbengkalai, projek-projek di lereng bukit yang tidak patut diluluskan tetapi diluluskan, penduduk rumah setinggan, kemiskinan bandar dan ‘lain-lain’. Di antara yang ‘lain-lain’ itu adalah persoalan kuil-kuil yang bertaburan yang telah tidak diurus dengan baik apatah lagi bertanggung jawab oleh BN.
Kebanyakan dari kuil-kuil ini merupakan kuil yang telah dibina semasa tempat berkenaan merupakan estet getah pada tahun-tahun sebelum Malaya merdeka. Apabila estet itu diambil-alih untuk dijadikan kawasan perumahan, pada tahun-tahun selepas merdeka, pekerja-pekerja ladang dipindahkan tetapi kuil mereka dibiarkan di tempat asal. Ianya tidak dipindahkan bersama penduduknya. Akhirnya penduduk asal terus mengunjungi kuil tersebut sambil kawasan persekitaran dibangunkan. Kuil mereka juga terus dibangunkan mereka.
Kesudahannya adalah seperti apa yang terdapat di Seksyen 19, Shah Alam! Rumah-rumah yang didiami orang Melayu berhampiran dan berhadapan kuil. Keadaan ini lebih merumitkan apabila penduduk memberitahu bahawa semasa membeli rumah-rumah mereka, PKNS telah menjamin bahawa kuil berkenaan tidak akan lagi berada disitu apabila rumah mereka siap. Namun, di bawah BN, janji seperti biasa tinggal sebagai janji. Masalah ini telah wujud selama 20 tahun lebih dan apabila PR mengambil alih, kami terpaksa menyelesaikan masalah yang diwujudkan BN ini. BN hanya pandai menimbulkan masalah tetapi buntu untuk mencari penyelesaian.
Dasar kerajaan PR adalah mudah. Pertama, kuil-kuil yang lama ini perlu dipindahkan ke satu tempat yang lebih sesuai. Tempat perlu dikenal pasti oleh PBT dan semestinya dipersetujui oleh pengguna kuil berkenaan. PBT perlu mengambil kira segala permasalahan yang akan dihadapi oleh pengguna kuil hasil dari pemindahan tersebut. Sambil itu, pembinaan kuil baru, selain dari hasil perpindahan, juga dihentikan.
Pada Khamis 8hb Januari, sambil saya menghadiri mesyuarat berhubung penduduk Rimba Jaya yang telah dirobohkan rumah-rumah mereka oleh kerajaan BN (masalah yang diwarisi lagi!), saya mendapat maklumat dari seorang penduduk Melayu Seksyen 19 bahawa ada sekumpulan Melayu telah datang untuk menimbulkan ketegangan di kuil tersebut. Selepas mesyuarat berkenaan saya bergegas ke sana dan mendapati sekumpulan orang, kebanyakan mereka orang luar, berkumpul berhampiran kuil tersebut. Mereka ingin membina ‘gelanggang silat’ di tepi kuil dan akan mengadakan kenduri untuk merasmikan pembukaan gelanggang tersebut pada hari Sabtu 10hb ini. Untuk kenduri itu mereka akan tumbangkan 2 ekor lembu! Seterusnya mereka akan menjamu penduduk dan orang ramai di depan kuil berkenaan. Gelanggang mereka akan dibina tanpa membuat apa-apa permohonan kepada phak berkuasa kerana kata mereka, kuil tersebut juga tidak mendapat kebenaran!
Orang yang mengetuai kumpulan tersebut datangnya dari Melaka! Dia menyatakan dia ‘mewakili rakyat’ dan tindakan ini terpaksa mereka ambil melalui persatuan NGO mereka yang bernama ‘PEWARIS’ kerana kerajaan PR masih berhoneymoon. Dia berkata penduduk sudah hilang kepercayaan kepada kerajaan dan oleh itu penduduk memanggil mereka turun. Amat jelas, soal gelanggang silat dan sebagainya hanya satu helah. Sebenarnya mereka mahu provoke pihak kuil berkenaan.
Saya menyatakan ‘wakil rakyat’ di sini adalah saya, bukan dia (mungkin dia ingat dia masih di Melaka). Sekiranya dia ingin mewakili rakyat, dia patut turun bertanding dalam PRU yang akan datang. Saya juga memberitahunya bahawa yang ‘berhoneymoon’ selama 50 tahun adalah BN! Saya menjelaskan bahawa pihak kerajaan sedang menguruskan perkara ini dan kita harus diberi masa. Kalau BN tak dapat buat apa-apa dalam tempoh 20 tahun lebih, semenjak rumah-rumah mula didiami, takkanlah saya tidak boleh diberi tempoh setahun, kata saya lagi. Malahan, tambah saya, pada bulan 5 atau 6 tahun lepas, saya telah bertemu dengan penduduk di dewan Masjid Sek. 19 dan berbincang dengan mereka dan memohon tempoh setahun. Mereka telah bersetuju.
Orang Melaka ini terus menuduh bahawa PR mendiamkan diri bila orang India membina kuil-kuil baru di merata Shah Alam. Saya nyatakan tiada kuil baru dibina dan dia gelakkan saya. Saya beritahu dia, “tunjuk saya di mana kalau kamu bercakap benar!” Dia pun terus ke keretanya, minta saya ikut di belakang sambil dengan penuh keyakinan mengatakan, “mari, saya tunjuk awak”! Maka saya mengekorinya; hai orang Melaka ini yang menganggap dirinya lebih tahu Shah Alam dari orang Shah Alam. Akhirnya dia bawa saya ke sebuah kuil di tepi landasan keretapi di Seksyen 15. Saya beritahu dia kuil itu telah ada di situ “sebelum kamu dilahirkan ke dunia ini”. Dia diam dan terus kembali ke kuil Seksyen 19.
Tidak puas hati lagi dia mencabar saya sebaik sahaja kita sampai di Seksyen 19, “awak orang Melayu, orang Islam, kenapa awak sibuk sangat nak membela kuil ini”? Saya jawab, “kerana Islam mengajar saya supaya bertindak adil terhadap semua manusia. Mereka, walaupun bukan Islam, ada hak dan Islam menuntut kita menghormati hak mereka”. Dia diam. Seterusnya dia berkata dia tak tahu sangat soal agama ini.Saya menambah lagi, “kita marah bila Israel mengasari ummat Islam di Gaza, jangan kita pula mengikut perangai Israel”.
Melihat dia mula teragak-agak saya pun menyatakan bahawa saya tahu Pewaris dan Pekida adalah NGO yang adik beradik. Penaung Pekida adalah PM maka semestinya begitu juga Pewaris. Kedua-dua NGO ini dikuasai oleh ahli UMNO. Saya tahu juga bahawa tindakan mereka ini, pada masa ini, ada hubung kait dengan PR kecil KT. Mereka ingin menimbulkan ketegangan dan masalah kaum supaya dengan itu mereka boleh menjaja keseluruh negara bahawa PR telah gagal menyelesaikan masalah ini di Selangor; dan Selangor sekarang ada masalah perkauman. Dia diam dan selepas itu dia menegur saya kerana buruk sangka, tetapi dia tidak menafikannya.
Dengan itu saya berundur. Saya memberitahu pegawai Polis dan juga pihak penguatkuasa MBSA yang berada di sana bahawa ini tugas mereka. Mereka kena menjaga keselamatan dan keamanan. Saya difahamkan walaupun gelanggang tidak dibina, namun mereka ingin teruskan kenduri mereka. Mereka kata mereka akan menjemput saya sekali. Saya menjawab, ikut undang-undang. Kalau pembinaan gelanggang dapat kelulusan MBSA, saya datang.
Kalau tidak, program Aman Palestine di stadium Melawati pada 10hb jam 10 pagi adalah tempat yang lebih afdal bagi saya untuk hadir, begitu juga dia!
WalLahu ‘Alam.
No comments:
Post a Comment