Pendengaran Awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) terus membongkar salah guna peruntukan DUN, khususnya menjelang pilihanraya umum, Mac tahun lalu.
Selcat semalam memanggil Pegawai Daerah Klang, Bakhtiar Hussin bagi memberi keterangan berhubung pembayaran peruntukan yang habis digunakan dalam tempoh sebulan setengah, berbanding 12 bulan yang ditetapkan.
Kelmarin, dua pegawai daerah dipanggil untuk memberi keterangan salah guna peruntukan ADUN Barisan Nasional iaitu pegawai daerah Petaling dan Gombak.
Dalam sesi 4 jam itu, Speaker Dewan Negeri, Teng Chang Khim mempertikaikan tindakan Pejabat Daerah Klang meluluskan 668 permohonan di 10 kawasan DUN pada 13 Februari lalu, walhal pada tarikh itu, dewan negeri sudah pun dibubarkan.
Menurut Teng, Bakhtiar juga meluluskan 22 permohonan peruntukan pada 3 Mac 2008, sedangkan pada masa itu kempen Pilihanraya Umum ke-12 sedang berjalan.
“Nampaknya tidak begitu lancar kerana kami tidak dapat jawapan yang benar, jawapan yang munasabah umpamanya saksi tidak mahu memberi komen sebagai seorang pengawal kewangan terhadap cara pengurusan peruntukan tersebut yang begitu nyata luar biasa di mana peruntukan untuk 12 bulan dihabiskan dalam tempoh satu setengah bulan”, kata Speaker Dewan Negeri, Teng Chang Khim.
Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas mempengerusikan Sesi Pendengaran Awam SELCAT Kedua di Bangunan Annex, Shah Alam tengah hari tadi.
Saksi pertama hari ini, Baktiar cuba berdolak-dalih apabila Teng bertanyakan tempoh proses kelulusan bagi setiap permohonan ADUN Barisan Nasional daerah Klang.
Teng terkejut apabila Bakhtiar memberitahu, bagi projek-projek kecil di bawah 20 ribu ringgit, boleh diluluskan dalam tempoh 2 hingga 3 hari mengikut keperluan setelah bukti kerja dikemukakan kepada mereka seperti gambar sebelum dan selepas kerja, resit dan voucher pembayaran.
Mengikut Piagam Pelanggan, setiap permohonan ADUN akan diluluskan sekurang-kurangnya 14 hari atau dua minggu selepas permohonan dihantar.
Teng: 13 Februari dan bubar, dewan dah bubar 13 Februari macam mana boleh diluluskan pada hari ini? Kerja sampai malam. Perdana Menteri dah umumkan pada 10 pagi, bubar, tapi kamu kerja sampai 12 malam untuk luluskan, kerajaan dah tak ada.
Bakhtiar: Mana-mana permohonan yang saya sebut tadi, yang telah dilaksanakan, dan kita luluskan untuk pembayaran, makna dilulus dia dah laksanakan diluluskan ADUN berkenaan, peruntukan-peruntukan ADUN nie, the moment ADUN sign Borang A, lulus maknanya kita kena bayar.
Saksi lain yang turut dipanggil ialah Ketua Penolong Pegawai Daerah (Bahagaian Pembangunan), Suliman Abdul Rahman; Penolong Akauntan, Ismail Hussain dan Ketua Pembantu Tadbir, Ali Abdullah.
Bagaimanapun, sesi yang masuk hari kedua ini tidak berjalan dengan lancar kerana saksi-saksi tidak memberi kerjasama baik bagi menjawab semua persoalan yang diajukan.
Teng juga memberi tempoh sehari kepada semua saksi untuk menyediakan semua jawapan bernas bagi merungkai salah guna peruntukan ADUN Barisan Nasional Penggal ke 11 lalu.
No comments:
Post a Comment