anjung setiawangsa Headline Animator

Wednesday, September 16, 2009

Tiada Sebab Untuk Undi BN di Bagan Pinang

Ketika undang-undang dicabul, negara pula terpaksa berhutang RM95 bilion, tidak ada sebab untuk rakyat mengundi Barisan Nasional di Bagan Pinang, kata AJK PAS Pusat, Datuk Husam Musa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak walaupun sudah lebih lima bulan berada di puncak kuasa, namun pemulihan kedaulatan undang-undang masih belum berlaku.

Husam yang juga Exco kerajaan Kelantan berkata, perdana menteri masih lagi membisu terhadap banyak kes membabitkan pencabulan undang-undang negara.

"Kalau kita lihat dalam kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes Teo Beng Hock sehingga membawa kepada kematiannya.

"Seorang pemuda India pula mendakwa diseksa semasa penyiasatan SPRM. Semuanya itu tidak mendapat apa-apa reaksi daripada Perdana Menteri.

"Ini menunjukkan tidak ada pemulihan dari segi perjalanan kedaulatan undang-undang dalam negara kita. Manakala dari segi ekonomi, negara semakin parah,? katanya selepas menyampaikan sumbangan sempena Hari Raya Aidil Fitri di Masjid Kamil Hassan, Salor dekat sini baru-baru ini.

(Gambar: Seorang penduduk Cina turut menerima sumbangan hari Raya daripada Husam Musa)

Husam berkata, tahun ini sahaja negara telah berhutang sebanyak RM93 bilion dalam bentuk jualan bon. Ia merupakan satu jumlah yang sangat menakutkan sehingga boleh membawa kepada keruntuhan ekonomi negara.

Oleh itu kata beliau, berdasar kepada perkembangan itu tidak ada sebab rakyat untuk menyokong calon BN di Bagan Pinang pada pilihan raya kecil 11 Oktober ini.

"Kalau kita mengatur strategi yang tepat kita ada peluang untuk menang biar kawasan itu mempunyai lebih 4,500 undi pos.

"BN kini sudah tidak mampu lagi memimpin negara ini. Rakyat harus menyedarkan BN dengan memberikan undi alternatif kepada pihak lain," katanya.

Pada majlis tersebut, sumbangan lebih RM100,000 disampaikan kepada golongan armalah, anak yatim, fakir miskin dan orang tua di Dun Salor.

Penerima sumbangan termasuk juga penduduk bukan Islam. Turut hadir Pegawai Kebajikan Masyarakat Kota Bharu, Ruzaidi Che Soh

Harakah
15/09/09

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...