anjung setiawangsa Headline Animator

Wednesday, December 2, 2009

3 Hakim Ditukar Secara Mengejut?


Sistem kehakiman negara ini makin hilang kredibiliti apabila tiga hakim Mahkamah Tinggi yang berpengalaman serta berpegang kepada prinsip keadilan dan bebas dipindahkan secara mengejut dipercayai bermotifkan politik.
Menurut sumber badan kehakiman, tiga hakim berkenaan adalah Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, Lau Bee Lan dan Mohamad Ariff Md Yusoff.
Hakim Alizatul Khair Osman, dalam penghakiman terbarunya menolak rayuan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk menangguh keputusan Mahkamah Tinggi yang mengiystiharkan DUN Kota Seputih sebagai kosong dan kes Anwar Ibrahim, Bee Lan pula dengan kes Krisis Perlembagaan Perak manakala Mohamad Ariff dengan kes Anwar Ibrahim.
Tiga hakim berkenaan sebelum ini mengendalikan Mahkamah Tinggi bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas, Kuala Lumpur.
Tindakan ini dilihat sebagai usaha Barisan Nasional untuk membersihkan “pengacau” kepada usaha parti pemerintah itu memastikan kemenangan dalam kes-kes yang membabitkan kepentingan mereka.
Mulai Disember, mereka tidak lagi akan terbabit dalam kes politik kerana ditukarkan ke bahagian Mahkamah Dagang.
Akhbar rasmi PKR, Suara Keadilan edisi terbaru 30 November dipetik melaporkan pemindahan itu dilihat sebagai usaha Umno-BN menguatkan cengkamannya ke atas badan kehakiman dengan “membekukan” saki-baki hakim yang bertindak secara adil dan bebas dari telunjuk mana-mana pihak.
Sebagai ganti, parti itu mendalangi pemindahan hakim yang pro-Umno-BN. Antara hakim baru yang akan bertugas di Bahagian Rayuan ialah Datuk Mohamed Apandi Ali, bekas Bendahari Umno Kelantan sebelum beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 2003.
Peguam kanan Edmund Bon yang diminta mengulas mengenai pemindahan tiga hakim berkenaan, berkata beliau dan rakat sejawatan pelik dengan tindakan itu.
“Ketiga-tiga hakim berkenaan tidak pernah menjadi sasaran aduan atau rungutan daripada mana-mana pengamal undang-undang sepanjang perkhidmatan mereka di bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas.
“Apakah kriteria objektif yang digunakan untuk menukar mereka ke bahagian lain kerana tempoh perkhidmatan mereka hanya baru antara satu hingga lima tahun sahaja?” tanya Edmund.
Edmund berkata tanpa alasan lojik, pertukaran itu akan menimbulkan persepsi bahawa ada unsur politik di sebalik tindakan itu.
“Pertukaran mereka juga akan meningkatkan jumlah kes tertunggak kerana hakim baru terpaksa meneliti semula semua dokumen untuk memahami kes-kes yang diwarisinya.
“Jadi kalau hakim ditukar sesuka hati sudah tentu KPI badan kehakiman pun akan terjejas. Prinsip keadilan juga mesti ditegakkan walaupun dalam bidang pentadbiran badan kehakiman ,” kata beliau lagi.
Pada 16 November lalu Alizatul adalah hakim yang mengisytiharkan kerusi DUN Kota Siputeh kosong selepas penyandangnya Datuk Abu Hassan Sarif tidak menghadiri dua persidangan DUN tahun ini.
Sebelum itu hakim yang sama memutuskan untuk menolak permohonan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi melucutkan kelayakan seluruh pasukan pendakwaan dalam kes liwat terhadap bekas pembantunya.
Bagaimanapun Hakim Alizatul menasihati Anwar mengemukakan kes itu di Mahkamah Tinggi Jenayah dan bukannya di mahkamah beliau.
Hakim Lau dilihat bertindak berani dalam memutuskan Speaker Perak V. Sivakumar dari Pakatan Rakyat dan enam orang lagi mempunyai hak mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk tidak mengadakan pilihan raya kecil bagi tiga kerusi DUN di Perak.
Keputusan itu membolehkan Pakatan Rakyat terus mencabar kesahihan kerajaan negeri Barisan Nasional menerusi proses undang-undang.
Hakim Mohamad Ariff pula memutuskan mahkamah tidak ada kuasa untuk mencabar keputusan Speaker Dewan Rakyat berhubung penggantungan 12 bulan ke atas Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo.
Namun beliau menempelak tindakan Speaker Pandikar Amin Mulia membekukan gaji dan elaun Gobind, dan mengarahkan enoulmen Ahli Parlimen itu di pulihkan seperti biasa.
Pada 25 Mac lalu, Mohamad Ariff juga menarik diri daripada mendengar saman Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin terhadap Menteri besar lantikan Umno, Dr Zambry Abdul Kadir.
Beliau sanggup bertindak demikian bagi mengelakkan persepsi negatif memandangkan beliau bekas ahli PAS dan penasihat undang-undang parti dalam beberapa petisyen pilihan raya sebelum menjadi Pesuruhjaya Kehakiman.
Menurut Edmund, antara fungsi Mahkamah Tinggi Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas ialah mendengar semua kes semakan kehakiman yang berkaitan Perlembagaan Negara dan undang-undang pentadbiran yang mempunyai kepentingan awam.
Ini termasuk kes yang melibatkan kementerian, agensi dan jabatan kerajaan serta badan berkanun seperti SPR, Suruhan Jaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Polis Di Raja Malaysia.
“Bahagian ini amat penting kerana ia mengendalikan kes-kes yang mempunyai hubung kait politik,” kata Edmund.
Justeru, campurtangan politik akan memastikan pelantikan hakim-hakim di bahagian berkenaan harus disesuaikan dengan kepentingan pihak pentadbir. -freemalaysiatoday

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...