anjung setiawangsa Headline Animator


Friday, December 4, 2009

Aduan polis isu RM10 juta milik MB Negeri Sembilan

Walaupun menteri besar Negeri Sembilan sedang disiasat Bank Negara berhubung dakwaan pemindahan wang RM10 juta ke luar negara, ia tidak menghalang satu aduan polis isu yang sama dibuat lagi di Bukit Aman.

Datuk Seri Mohamad Hassan, dikaitkan dengan kegiatan itu, apabila bank pusat Malaysia membatalkan 20 lesen perniagaan pengurup wang hujung Oktober lalu. 

Beliau didakwa memindahkan wang tersebut pada Mac tahun lalu melalui syarikat Salamath Ali Money Changer Sdn Bhd.

Bank Negara menyatakan syarikat pengurup wang itu melanggar Seksyen 30 Akta Pengurupan Wang 1998 dan lesennya dibatalkan pada 26 Oktober lalu.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) membawa perkara tersebut ke ibu pejabat polis persekutuan di Bukit Aman pagi tadi bersama dua lagi isu. 

Isu-isu itu: Dakwaan pembabitan adik perdana menteri dalam pertukaran akuan bersumpah seorang penyiasat persendirian yang mengaitkan hubung Datuk Seri Najib Razak dengan Altantuya Shaariibuu dan juga dakwaan seorang setiausaha politik perdana menteri dengan politik wang dalam Umno.

Penyelaras SAMM Badrul Hisham Shaharin, yang membuat aduan tersebut, mempertikaikan tindakan Bank Negara yang telah membatalkan lesen Salamath Ali Money Changer Sdn Bhd tetapi "tiada tindakan terhadap Mohamad yang menghantar wang dan penerima wang tersebut."

"Tindakan menghantar wang tunai dalam jumlah yang besar adalah menstabotaj ekonomi dan mengkhianati negara.

"Jabatan Siasatan Jenayah Komersil didesak memulakan siasatan berkenaan perkara ini," katanya, yang juga seorang pemimpin PKR yang berasal dari negeri itu. 

Badrul Hisham, yang dikenali Chegu Bard, menyerahkan satu dokumen 52 halaman berhubung ketiga-tiga kes tersebut.

"Laporan ini juga sebagai 'ujian litmus' kepada ketua polis negara (Tan Sri Musa Hassan) dan institusi Polis Diraja Malaysia itu sendiri sama ada benar-benar bebas atau sekadar alat kepada rejim pemerintah," tambahnya.

Beliau berharap aduannya ini disiasat tanpa kepentingan politik atau kumpulan tertentu demi menjamin kepentingan negara dan rakyat seluruhnya.



dari Malaysiakini

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...