Datuk Mustafa Muhammad seakan bukan anak Kelantan. Sejak hari pertama tuntutan minyak berbangkit, jalur yang diambil oleh beliau ialah cuba menidakkannya.
Belum pun jelas duduk perkara, beliau antara yang pertama membuat kenyataan: di peraiaran Kelantan, petroleum tidak ada. Tak lama, beralih kepada bertindeh dengan orang lain. Kemudian, hanya layak wang ehsan. Sekarang, seperti dilaporkan oleh Utusan Online petang ini, tidak mudah untuk Petronas nak kira jumlah bahagian Kelantan.
Sebagai Menteri Pusat anak Kelantan, dengan maklumat lebih terbuka sebagai Menteri, beliau sepatutnya yang pertama bersuara Kelantan terhak kepada apa jua nama bayaran bagi pengeluaran petroleum di perairan negeri ini. Itu tidak terjadi.
Mungkin hasrat hatinya kekayaan bumi Kelantan biar tertutup begitu sahaja. Terlalu terang hasrat hatinya untuk menyukarkan keadaan, bukan memudahkannya.
Hari ini beliau bercakap lagi mengenai Kelantan hanya layak untuk wang ehsan. Kelantan juga kata beliau, tidak layak untuk pengeuaran di kawasan JDA. Penggunaan wang ehsan nanti pula seratus peratus budi bicara Kerajaan Pusat.
Tengku Razaleigh yang juga ahli UMNO dan datang dari Kelantan, berbeza sekali sikapnya dengan Mustafa. Sama parti sama negeri, kenapa ada dua pandangan berbeza?
Pandangan siapa lebih betul? Datuk Mustafa yang kini menguruskan AP yang boleh membawa kekayaan segera kepada sesiapa yang mendapatnya atau Ku Li yang turut menjadi arkitek pembangunan petroleum pertama negara kita?
Mengapa tidak Datuk Mustafa memanggil sidang Badan Perhubungan UMNO Kelantan untuk menetapkan pendirian bersama UMNO Kelantan? Jemput bersama Ku Li sebagai Ketua UMNO Gua Musang untuk memberikan pandangannya.
Kenapa tidak diambil pendekatan pro rakyat Kelantan dan bukan pro penindasan dan buli yang telah menjadi trade mark UMNO sekian lama?
Ini abad 21. Abad maklumat dan abad pemikiran kritikal.
Datuk Mustafa masih dengan sikap lama yang tidak produktif.
Tanya dulu berapa medan gas atau minyak yang wujud di perairan Kelantan.
Jika PM menyebut Kelantan akan mendapat wang ehsan dari medan Bumi Selatan di Parlimen baru-baru ini, Bumi Selatan merujuk kepada konsesi CS Mutiara meliputi;
Bunga Kamelia dijumpai pada November 2003
Bunga Zetung dijumpai pada Julai 2004
Bunga Angerik dijumpai pada November 2004
Bumi Selatan dijumpai pada Februari 2005
Bunga Kesumba dijumpai pada Februari 2005
Ia bukan secupak dua cupak. Berapa reservenya, biarlah Menteri seperti Datuk Mustafa mengumumkannya tetapi jangan pula ingat orang lain tak tahu.
Di kiri dan kanan konsensi CS Mutiara ini ada pula medan seperti Bergading, Ular, Gajah, Bunga Dahlia, Bunga Melati dan Damar.
Reserve Bergading sahaja rasanya melebihi 120 juta tong. Damar pula hanya 68 batu dari pantai Negeri Datuk Mustafa.
Sebagai Menteri Pusat tak terasakah di hati Datuk Mustafa bagi berusaha mendaratkan gas dan condesate ini ke negeri sendiri?
Dengan satu pipe line utama, medan-medan ini boleh dihubungkan dengan pipe line cabang dan dengan jarak yang begitu hampir, ia boleh didaratkan di Kelantan sendiri. Jika itu berlaku, satu katalis besar untuk ekonomi Kelantan.
Jika dikatakan bertindeh menghilangkan kelayakan royalti, mengapa untuk kawasan CAA yang bertindeh antara Vietnam dan Terengganu, Terengganu dibayar royalti?
JIka selama ini Terengganu layak, kenapa Kelantan yang turut bertindeh dengan Vietnam di bahagian utara CAA tidak berhak menerimanya? Sekurang-kurang bagi Medan Bunga Pakma dan Bunga Orkid, Kerajaan Pusat terhutang kepada Kelantan beratus juta. Difahamkan Kerajaan Pusat telah menerima USD 700 juta dari kawasan ini selama ini.
Begitu juga dengan kawasan JDA. Ia berada dalam perairan Kelantan dan Akta JDA 1990 langsung tidak menidakkan kawasan itu berada dalam perairan Kelantan lama sebelum Kelantan menyertai Malaysia. Tidak juga Akta itu menjadikan kawasan ini wilayah eksklusif yang terkeluar dari kedaulatan negara kita. JDA hanya satu corporation yang diberi kuasa untuk mengolah pengeluaran petroleum secara bersama dengan Thailand dan bertanggunjawab membayar royalti seperti tercatat dalam Akta itu.
Hanya niat buruk untuk mempastikan Kelantan terus miskin sahaja alasan sebenar penafian ini. Difahamkan, bagi kawasan JDA, MTJDA telah menghulurkan USD 200 juta sebagai royalti kepada Kerajan Pusat. Untuk tahun 2010, ia meningkat kepada RM 800 juta. Mana bahagian Kelantan?
Bagi medan Bintang yang bertindeh antara Kelantan dan Terengganu, sudah tentu Kelantan juga layak terhadap sebahagian royaltinya. Difahamkan Petronas telah membayar RM 10 billion sebagai royalti kepada Kerajaan Persekutuan bagi medan ini. Jika Kelantan dibayar tunggakan satu pertiga sahaja dari medan Bintang, ia sudah berjumlah RM 3.3 billion!
Tiba masanya untuk Kerajaan Pusat lebih telus dan lebih bersemangat kekeluargaan. Selain adil, saksama dan bersetia dengan perjanjian.
Bukan sahaja Allah tidak sukakan perjanjian diengkari, tetapi juga makhluk yang bermaruah tidak dapat menerimanya.
Mengapa tidak Datuk Mustafa menjadi hero rakyat Kelantan dengan memulakan perbincangan dan perundingan dengan Kerajaan Negeri?
Kemudian, memberikan hak kepada yang berhak, apa lagi untuk negeri tumpah darah beliau juga. -Husam Musa
No comments:
Post a Comment