PAS menyifatkan cadangan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, memansuhkan diskaun bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial di Selangor adalah bersifat peribadi.
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata, isu tersebut belum pernah dibawa berbincang dalam Pakatan Rakyat.
"Pandangan itu lebih bersifat peribadi. Sebenarnya, kita belum bincang apa-apa lagi perkara itu di peringkat Pakatan Rakyat, dengan sebab itu, kita kena bincang di peringkat Pakatan Rakyat.
"Apa yang berlaku hari ini tidak sampai ke (sasaran) bumiputera pun, sampai kepada pemimpin-pemimpin Umno sahaja," jelasnya dalam sidang media selepas majlis pelancaran buku terbarunya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan wartawan berkenaan isu tersebut.
Dalam isu yang sama, Ustaz Hadi membidas sikap kepura-puraan Umno yang kononya juara isu hak bumiputera, sedangkan sebenarnya bukan bumiputera yang mendapat segala kemudahan, tetapi dimonopoli oleh pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN).
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang bagaimana pun mengakui belum melihatnya secara 'detail' hasrat cadangan pemansuhan diskaun pemilikan hartanah yang diperkatakan itu.
Sehubungan itu beliau berpendapat, realiti yang wujud dalam negara masakini adalah, bumiputera merupakan majoriti rakyat yang masih miskin.
Walaupun begitu, menurutnya, Islam juga tidak membenarkan berlaku zalim terhadap kaum serta bangsa lain yang memerlukan pembelaan.
"Saya tidak melihat 'detail' tapi saya melihat realiti yang ada dalam negara kita bahawa majoriti rakyat adalah bumiputra dan yang miskin adalah bumiputra."
"Sebab itu, kita perlu melihat majoriti rakyat yang mengalami masalah kemiskinan. Dalam masa sama, kita (Islam) wajib membela kaum lain yang miskin dan yang patut juga dibela."
"Kita (Islam) tidak boleh menzalimi kaum lain dalam keadaan kita (orang Melayu) membela kaum kita sendiri," tegasnya. -- Buletin Online
No comments:
Post a Comment