anjung setiawangsa Headline Animator


Tuesday, August 3, 2010

Bersih 2.0 Desak ISA Dan Akta Zalim Lain Dimansuhkan Segera

SHAH ALAM 2 Ogos - Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0)mendesak agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan termasuk akta atau undang-undang lain yang menindas hak asasi manusia.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam sempena ulangtahun ke-50 perlaksanaan ISA di Malaysia, Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan berkata kewujudan berterusan akta sedemikian akan hanya menafikan pilihan raya bebas dan adil, mengekang demokrasi pelbagai parti dam membiakkan gejala rasuah dan ketidakstabilan politik.

Bersih 2.0 menegaskan sehingga kini seramai 10,662 telah di tahan di bawah ISA dalam tempoh 44 tahun, 4,139 ditahan secara rasmi dan 2,066 ditahan di bawah sekatan kediaman dan juga aktiviti. 

"Mereka seharusnya dibebaskan atau didakwa di mahkamah. Malangnya ISA yang sepatutnya digunapakai terhadap amcaman penganas disalahguna untuk sebagai senjata untuk menindas seteru politik daripada pemimpin pembangkang dan agama, aktivis hak asasi manusia, ahli akademik, pelajar, aktivis pendidikan, pemimpin kesatuan pekerja, wartawan dan juga aktivis alam sekitar. 

"Justeru itu Bersih 2.0 menegaskan ISA bukan sahaja kejam dan zalim malah akta keras berusia 50 tahun itu telah mengancam pemikiran rakyat Malaysia sehingga mereka berasa takut dan lesu untuk membabitkan dalam perbincangan awam mengenai kebajikan dan hak mereka," kata Ambiga lagi.

Tambah badan itu melalui tindakan menafikan demokrasi pelbagai parti dan juga menghalang kewujudan sistem dua parti, ISA bersekongkol mendokong negara satu parti.

Disamping itu ISA mengugat kestabilan ekonomi negara dan seterusnya menggalakkan gejala rasuah secara berleluasa dan penyalahgunaan kuasa.

"Bersih 2.0 memberi amaran sekiranya ISA tidak dimansuh, pemimpin pembangkang dan masyarakat madani akan terus ditahan pada bila-bila masa oleh kerajaan Barisan Nasional apabila ia berasa terancam, terutamanya menjelang pilihan raya umum kelak.

"Rakyat Malaysia diingatkan kebangkitan rakyat pada pilihan raya umum 2008 masih tidak mampu menyekat penyalahgunaan kuasa. Kita melihat bagaimana tiga rakyat awam iaitu anggota parlimen, Teresa Kok, penulis blog, Raja Petra Kamarudin dan wartawan, Tan Hoon Cheng ditahan di bawah ISA pada September 2008 tanpa alasan munasabah," ujar Bersih 2.0.

Bersih 2.0 mendesak ISA dimansuhkan serta merta dan bukan setakat dipinda termasuk juga semua akta lain yang setanding dengannya. SUARA KEADILAN


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...