Menurut Lim, Chua pada Konvensyen Tahunan ke-33 MCA Kedah di Alor Star, semalam telah memberi tanggapa negatif kononnya negara-negara Islam itu "tidak progresif, korup, miskin dan terkebelakang".
Katanya, Chua sepatutnya mendidik dirinya sendiri dalam sejarah tamadun Islam yang bukan hanya mengenai empayar global tetapi kaya dengan pelbagai khazanah seperti seni, ilmu hisab, perubatan, algebra dan astronomi.
"Negara-negara Islam juga dilanda masalah yang sama seperti India dan China sebelum ini. Hanya apabila India dan China menjadi bebas dan dimerdekakan oleh penjajah, barulah mereka menyedari potensi masing-masing dan mengambil tempat sewajar mereka di pentas dunia," katanya ketika berucap di Persidangan Intergriti Antarabangsa di Pulau Pinang hari ini.
"Saya yakin negara-negara Islam mampu mengembalikan kegemilangan silam mereka, jika negara-negara berkenaan tidak lagi dikongkong seperti India dan China," katanya.
Lim, yang juga adalah setiausaha agung DAP berkata sejarah membuktikan negara-negara Islam juga boleh mempunyai urus tadbir seperti yang berlaku semasa pemerintahan Umar Abdul Aziz yang menyaksikan jajahan Ummaiyyah menjadi pusat pendidikan dan perundangan yang cemerlang.
"Pilihannya adalah sama ada kita ikuti jejak atau model Umar Abdul Aziz berhubung mentadbir dengan integriti dan melasanakan urus tadbir yang baik ataupun memilih cara pentadbiran secara kukus besi dan mengamalkan rasuah," tambahnya.
Lim merujuk kepada ucapan Chua semalam yang membidas kedua-dua Umno dan PAS kerana menggunakan agama bagi meraih sokongan di kalangan masyarakat Melayu.
Menurut Chua, apabila dua parti Melayu yang dominan itu bersaing, kesannya akan wujud dasar-dasar yang tidak progresif - menyebabkan negara terperangkap dalam kategori penduduk berpendapatan sederhana untuk lebih 10 ntahun.
Beliau juga berkata Umno telah menjadi lebih konservatif untuk bersaing dengan PAS bagi mendapatkan sokongan Melayu.
Katanya, isu berkenaan sengaja ditimbulkan supaya masyarakat Cina di negara ini boleh berfikir memikirkan sejenak berhubung kerjasama DAP dengan PAS.
Chua juga mengingatkan masyarakat Cina di Malaysia supaya jangan terlalu optimistik dengan anggapan jika PAS memerintah, negara ini akan bebas daripada rasuah dan segala masalah lain akan lenyap. Katanya, ada antara negara yang mengamalkan rasuah terdiri daripada negara yang mempunyai majoriti masyarakat Islam. -MK
No comments:
Post a Comment