Malah gesaan YB Tony Pua untuk menghapuskan kuota bumiputera untuk pembelian hartanah mewah bernilai RM500 ribu ke atas perlu diberikan penilaian yang sewajarnya.
Pendekatan bermusim membangkitkan isu ini perlu dihentikan kerana ianya sehingga hari ini gagal membantu mereka yang menjadi mangsa dasar yang berniat baik tetapi gagal memberi keadilan ke pada semua warga Malaysia terutama mereka yang perlu dibantu.
Warga Balik Pulau, Melayu dan juga bukan Melayu contohnya, hari ini menjadi penonton pembangunan hartanah mewah yang rata-rata melangkaui kemampuan majoriti penduduk setempat.
Semenjak penghujung 1990an banyak projek-projek perumahan diluluskan dengan rancak sekali. Rata-rata harga jualan di antara RM300-900 ribu yang diluar kemampuan penduduk setempat. Kawalan hanya terhadap pelan sahaja. Bagaimana dengan harga? Adakah kita perlu pasrah dengan pasaran apabila tidak ada dasar dan mekanisme yang mengawal?
Isunya kenapa dengan kewujudan 30% dan kuota yang ditetapkan atas nama 'Kontrak Sosial' berpuluh-puluh tahun orang Melayu masih bergelut dengan hak pemunyaan hartanah (property ownership)?
Ramai yang masih merempat di kampong sendiri. Definisi perundangan menjadikan mereka 'setinggan' kerana tinggal di atas tanah orang lain. Di mana 30%? Di mana Kuota? Apakah dasar sekarang mampu menjamin niat anak orang muda yang mahu memilki rumah yang selesa buat keluarga tersayang?
Saya yakin benak hati Datuk Chua Su Lek (MCA), Koh Tsu Koon (GERAKAN), YB Tony Pua (DAP) dan pimpinan Pakatan Rakyat lain berbanding agenda perkauman sempit Perkasa hanyalah satu, iatu Keadilan (Justice) untuk semua tanpa mengira batasan kaum, agama dan bangsa. Kita tidak lagi boleh melihat keadilan daripada kacamata satu bangsa sahaja. Yang lebih penting mereka yang menjadi mangsa ketidakadilan perlu dibela!
Lantaran itu, saya menggesa kerajaan pada hari ini agar mengeluarkan Dasar Pemilikan Hartanah (Property Rights) baru yang lebih menyeluruh bagi mengawal lebihan pasaran (market excess) yang menafikan hak mereka yang kurang berkemampuan serta harga hartanah yang melampau!
Pasaran yang sihat perlu untuk keusahawanan pengusaha tetapi manipulasi dan lebihan pasaran (market excess) perlukan penyeliaan.
YB YUSMADI YUSOFF
Ahli Parlimen Balik Pulau
No comments:
Post a Comment