anjung setiawangsa Headline Animator

Monday, August 2, 2010

Pasukan peguam Anwar membela anak guam mereka dengan satu tangan diikat dibelakang - HRW


HRW Desak Kerajaan Malaysia Serah Dokumen, Bahan Bukti Kepada Anwar Segera


Badan pemantau hak asasi manusia antarabangsa, Human Rights Watch (HRW) berkata pihak pendakwa raya dalam kes perbicaraan Fitnah II terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim seharusnya menyerahkan dokumen dan bahan bukti berkaitan kes tersebut kepada pasukan pembelaan sebelum prosiding bersambung Isnin depan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Jumaat lepas HRW menegaskan tindakan daripada pihak pendakwa raya adalah perlu bagi menjamin perbicaraan tersebut berjalan secara adil dan telus.

Sambil membidas undang-undang warisan era kolonial yang digunakan dalam pendakwaan terhadap Anwar yang membawa hukuman 20 tahun penjara dan sebatan jika sabit kesalahan, badan antarabangsa yang dihormati itu berkata tokoh politik yang disegani itu juga berhadapan disekat daripada bertanding di dalam pilihan raya walaupun dihukum penjara sehari atau didenda RM2,000.

"Sifat asas perbicaraan yang adil memerlukan pihak pendakwa raya menyerahkan dokumen dan bukti supaya Anwar mampu mempertahankan diri beliau.

"Malangnya pihak pendakwa raya di Malaysia telah tidak berlaku adil kepada Anwar dengan menafikannya dokumen penting yang diperlukan oleh pasukan pembelaan beliau," kata Phil Robertson, timbalan pengarah HRW Asia.

Ujar HWR lagi, kerajaan Malaysia masih belum menunaikan janji yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz yang berkata, 'hak pengadu dan yang tertuduh akan dihormati dalam perbicaraan Anwar'.

Kenyataan itu menambah sejak Ahli Parlimen Permatang Pauh itu ditahn pada 16 Julai 2008, kes tersebut telah mempamerkan beberapa keputusan pihak mahkamah yang menafikan Anwar untuk mendapatkan dokumen dan bahan bukti setiap kali permohonan dibuat.

"Mahkamah telah menafikan skses kepada senarai saksi pihak pendakwa raya dan kenyataan mereka yang dicatat termasuk kenyataan pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

"Mahkamah juga telah menyekat akses kepada rakaman video keselamatan daripada kondominium di mana kejadian liwat didakwa berlaku.

"Anwar juga terus dinafikan untuk mendapatkan nota perubatan dan catatan lain, laporan, material dan juga spesimen berkaitan pemerikasaan perubatan ke atas Saiful oleh tiga doktor Hospital Kuala Lumpur yang dilakukan pada 28 Jun 2008, dua hari selepas dakwaan liwat berlaku," tegas HRW lagi.

Badan itu berkata Anwar terus dinafikan untuk mendapatkan laporan penuh perubatan Saiful, dokumen berkenaan kelayakan doktor dan pengalaman mereka, dan peralatan yang digunakan dalam pemeriksaan serangan seksual.

"Pakar forensik yang dipanggil oleh pihak pembelaan mengadu beliau tidak mampu membantu dalam sesi soal balas terhadap tiga doktor HKL sekiranya tidak dibekalkan dengan bahan-bahan bukti tersebut," kata HRW.

Dalam perkembangan mutakhir, Mahkamah Rayuan telah menetapkan 6 Ogos untuk mendengar rayuan terhadap permohonan untuk mendapatkan akses kepada laporan perubatan, beberapa hari selepas tiga doktor HKL dijadual disoalbalas oleh pihak pembelaan.

HRW berkata amalan biasa di Malaysia ialah pihak pendakwa raya akan membekalkan semua bahan bukti dan dokumen kepada pihak pembelaan semasa tempoh pra perbicaraan.

Dalam kes yang melibatkan Anwar, mahkamah memutuskan pihak pembelaan dibenarkan membuat permohonan tersebut semasa prosiding sedang berjalan.

Walau bagaimanapun ketika perbicaraan bermula pada 2 Februari lalu, pihak pembelaan telah membuat permohonan berkaitan namum mahkamah memutuskan ia terhalang oleh keputusan sebelumnya ketika pra perbicaraan.

Akibatnya satu-satu sumber maklumat yang mampu diperolehi pihak pembelaan ialah keterangan yang diberikan oleh saksi pihak pendakwa raya dalam mahkamah. 

"Pasukan peguam Anwar terpaksa membela anak guam mereka dengan satu tangan diikat dibelakang.

"Dengan menafikan bahan bukti yang kritikal dalam kes ini, tindakan mahkamah dan pendakwa raya ini akan hanya menimbulkan keraguan terhadap keadilan dalam perbicaraan ini dan seterusnya membuktikan dakwaan terhadap Anwar adalah bermotifkan politik," kata Robertson.

HRW berkata prosiding dilihat bercanggah dengan Seksyen 51A, satu pindaan yang dibuat pada Mac 2006 untuk membuka ruang yang lebih luas bagi pihak pembelaan untuk mendapatkan bahan bukti dalam sesuatu perbicaraan. 

Seksyen ini mempunyai peruntukan bahawa pihak pendakwa raya seharusnya membekalkan "apa-apa" dokumen yang boleh digunakan sebagai bukti dan juga kenyataan fakta yang menyebelahi pihak pembelaan kecuali yang bertentangan dengan kepentingan awam.

"Kerajaan Malaysia meminta masyarakat antarabangsa menghormati sistem demokrasi dan komitmennya terhadap prinsip negara hukum tetapi terdapat perbezaan besar antara retorik semata-mata dan realiti.

"Sekiranya kerajaan ikhlas untuk menjamin perbicaraan yang adil maka amat perlu pihak pendakwa raya menyerahkan semua dokumen dan bahan bukti kepada pasukan pembelaan dengan segera," tegas Robertson lagi. -SK

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...