anjung setiawangsa Headline Animator


Monday, May 11, 2009

NIZAR MB PERAK YANG SAH - MAHKAMAH


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa Dato' Seri Ir. Mohd. Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar Perak yang sah. Menurut Hakim Datuk Abdul Aziz Abd Rahim, Ir. Nizar tidak pernah menghadapi undi tidak percaya di DUN Perak. Keputusan tersebut diumumkan pada kira-kira pukul 3.30 petang tadi.

Hakim turut memutuskan DR. Zamri dan ahli EXCOnya mengosongkan pejabat mereka dengan serta merta. Beliau juga turut menolak permohonan penangguhan penghakiman oleh peguan Zamri, Datuk Cecil Abraham.

Sementara itu, Dato' Seri Nizar berkata, beliau akan menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bagi memaklumkan secara rasmi berhubung keputusan mahkamah yang diputuskan hari ini.

Katanya, semua keputusan yang dibuat oleh Zambry akan dikaji semula dan bukannya tidak sah sehingga notis seterusnya kecuali sidang DUN pada 7 Mei lalu.

"Kita akan minta Datuk Zambry dan Exco lain untuk mengosongkan jawatan mereka berkuat kuasa serta-merta berikutan keputusan mahkamah.

"Mesyuarat Exco akan diadakan segera dan kita berpegang yang DUN harus dibubarkan berdasarkan kepada usul yang diluluskan pada sidang DUN bawah pokok pada 3 Mac 2009,"katanya.

Nizar telah kehilangan jawatan tersebut awal Februari berikutan krisis politik Perak.

Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir telah memohon agar menangguhkan pelaksanaan keputusan sementara mahu mengemukakan rayuan.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim mula membacakan kertas penghakiman bermula kira-kira 2.30 petang.

Nizar daripada Pakatan Rakyat memfailkan kesnya 13 Februari lalu supaya mahkamah mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar yang sah.

Nizar, 52, dilantik sebagai Menteri Besar pada 17 Mac 2008 setelah pakatan DAP, Pas dan PKR menang 31 daripada 59 kerusi dalam pilihan raya umum 8 Mac 2008.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...