anjung setiawangsa Headline Animator


Tuesday, May 19, 2009

WANITA PAKATAN LANCAR KEMPEN BUBAR DUN PERAK

Wanita Pakatan Rakyat melancarkan kempen suara hati rakyat Perak bagi mendesak pembubaran Dewan Undangan Negeri dengan segera bagi membolehkan pilihan raya baru diadakan.

Ini bertujuan memlangkan kembali mandat kepada rakyat bagi menentukan kerajaan negeri pilihan mereka.

Sehubungan itu Wanita Pakatan Rakyat akan turun padang untuk bertemu rakyat bagi mengumpul tandatangan sebagai gambaran suara hati sebenar mereka berhubung desakan pembubaran DUN Perak.

Kempen tersebut dilancarkan di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri Hulu Kinta, petang semalam.

Turut hadir pada pelancaran kempen mengumpul tandatangan ini ialah Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat, Zuraida Kamaruddin, Ketua Wanita DAP, Chong Eng dan Ketua Muslimat PAS Ustazah Nuridah Mohd Salleh serta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat Perak.

Dalam ucapannya Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, kempen untuk mendesak pembubaran Dewan akan menjadi kenyataan jika semua pihak terutama golongan wanita di negeri ini memainkan peranan masing-masing.

Tambah beliau golongan wanita merupakan 52% daripada jumlah pengundi berdaftar di negeri Perak dan mampu menjadi satu kuasa pendesak yang berkesan untuk mencapai objektif pembubaran DUN dalam masa terdekat.

“Kempen untuk mendesak agar DUN Perak dibubar memerlukan peranan wanita kerana mereka memainkan peranan penting dalam kempen ini,” kata Zuraida

Zuraida juga berkata kesangsian rakyat Perak terhadap kerajaan Umno-BN sudah semakin menebal disebabkan tindakan rakus mereka merampas kuasa daripada kerajaan Pakatan Rakyat Februari lalu.

Jelas beliau bertolak dari situlah tercetusnya krisis politik yang melanda negeri ini yang menyaksikan amalan demokrasi diperkotak-katikkan.

Jalan terbaik bagi menyelesaikan kemelut ini ialah dengan membubarkan DUN secepat mungkin bagi memgembalikan kuasa kepada rakyat.

Sementara itu Chong Eng yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata sudah sampai masanya golongan wanita tampil ke depan untuk meniupkan semangat juang agar kempen mendesak pembubaran DUN menjadi kenyataan.

Kata beliau lagi kempen mengumpul tandatangan yang dianjurkan adalah salah satu penggerak utama untuk mencapai matlamat ini.

Chong Eng juga berkata kempen mensasarkan sejuta tandatangan dalam tempoh seminggu sebagai lambang suara hati rakyat Perak yang mahukan pembubaran DUN dilakukan segera.

“Saya berasa kempen ini sangat bermakna kerana ianya pertama kali diadakan yang diterajui oleh wanita. Sudah sampai masa untuk wanita bangkit dan mengambil bahagian dalam perkara yang penting seperti ini,” tegas beliau.

Sehubungan itu satu memorandum akan dipersembahkan kepada Sultan Perak secepat mungkin bersama sejuta tandatangan rakyat Perak yang melambangkan kesungguhan Pakatan Rakyat untuk melihat pilihan raya diadakan bagi mengatasi kemelut politik.

Kempen ini juga akan mendapatkan kerjasama ketua kampung di seluruh negeri Perak bagi mendapatkan tandatangan penduduk kampung yang kemudiannya akan diserahkan kepada wakil rakyat masing-masing.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...